KUALA LUMPUR – Prestasi memberangsangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2024 mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan Madani yang mesra pertumbuhan dan pelabur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia turut disokong refomasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani yang sekali gus memanfaatkan rakyat untuk pertumbuhan sejagat dan lestari.
“Alhamdulillah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion.
“Malah, Simpanan Shariah juga melakar sejarah, dengan julung kalinya mencapai kadar yang setara dengan Simpanan Konvensional.
“Prestasi memberangsangkan KWSP ini dipacu kepesatan pasaran modal Malaysia yang mekar di tengah tantangan ekonomi global yang penuh dengan pelbagai cabaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Anwar, dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, beliau percaya Malaysia akan terus maju dan dalam masa sama kerajaan akan memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat.
Hari ini, KWSP mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi iaitu 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, Konvensional dan Shariah.
Dividen bagi Simpanan Konvensional melibatkan agihan sebanyak RM63.05 bilion; manakala RM10.19 bilion bagi simpanan syariah.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.
Menurut dana persaraan itu, semua ahli boleh menyemak penyata terkini mulai esok (2 Mac) dan masing-masing digalakkan membuat semakan menerusi aplikasi KWSP i-Akuan.
KWSP berkata, bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11 peratus berbanding RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023.
Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun berkenaan. – MalaysiaGazette