Muhamad Farkhan mengadakan sidang akhbar diJohor Bahru hari ini menafifkan dakwaan terhadapnya

JOHOR BAHRU – Petinju profesional negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron menafikan tuduhan sesetengah pihak bahawa perlawanan terakhir dalam kariernya menentang petinju India, Jaskaran Singh merupakan perlawanan yang telah diatur (match-fixing).

Beliau kecewa dengan dakwaan tidak berasas itu semasa pertarungan dalam Kejohanan Antarabangsa Tinju Johor (JIBC) 2025 pada 16 Februari lalu.

“Perkara yang menyakit dan menyedihkan apabila ada netizen yang bercakap negatif, ada yang body shaming cakap saya gemuk, boroi.

“Saya tidak kisah, pada saya itu normal sebab sebagai atlet saya telah lalui benda yang lebih sukar dalam hidup, tetapi perkara yang mengecewakan saya, orang cakap ini adalah perlawanan yang diatur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pertarungan tersebut menyaksikan Muhamad Farkhan meraih kemenangan menerusi technical knockout (TKO) pada pusingan keempat, sekali gus mempertahankan gelaran juara kategori Bridgeweight, Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia dan bersara dengan rekod tanpa kalah 13-0.

Namun selepas kemenangan itu, muncul tuduhan dalan media sosial terhadadapnya bahawa perlawanan tersebut diatur selain menyentuh bentuk fizikalnya.

Mengulas lanjut, Muhamad Farkhan mengakui tuduhan tersebut membuatkannya rasa tidak dihargai setelah berpenat-lelah selama 21 tahun membaktikan diri mengharumkan nama negara dalam pelbagai acara dan kejohanan antarabangsa.

Juara Antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) itu menegaskan, bahawa Johor hanya merupakan tuan rumah bagi penganjuran kejohanan berprestij WBC Asia dan Jaskaran yang berada di kedudukan kelima Asia bagi kategori Bridgeweight bukan lawan yang mudah.

Beliau berkata, kemenangan itu adalah hasil kemahiran, kecerdasan intelek (IQ) dan kelebihan dari segi kepantasan berdasarkan pengalaman yang dimilikinya, meski turut perlu berdepan beberapa kecederaan.

“Ini adalah kejohanan WBC Asia, kita Johor adalah sebagai host sahaja dan kejohanan ini ada supervisor, pengadil dan juri dari luar negara.

“Boleh semak laman web WBC Asia dalam kategori Bridgeweight saya adalah juara dan berada dalam kedudukan keempat Asia, sementara Jaskaran di tempat kelima, so we didn’t pick or choose any opponent, semua opponent atau yang berlawan dengan saya adalah petinju top 10 Asia,” katanya.

Beliau yang pernah mencipta sejarah merangkul dua pingat emas bagi sukan tinju pada Sukan SEA Laos berkata, segala kemenangan diraih tidak datang bergolek dengan pelbagai pengorbanan yang perlu ditempuh, tanpa sokongan dalam suka dan duka yang diberikan terutama barisan kejurulatihan, ahli keluarga, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan kerajaan negeri.

Muhamad Farkhan yang juga memegang rekod pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) empat kali berturut-turut itu, bagaimanapun tidak terdetik untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melemparkan tuduhan.

“Pada saya kalau hendak ambil tindakan, dalam konteks media sosial orang tidak akan berhenti bercakap. Memang saya sedih, tetapi buktikan dan tunjukkan kalau kejayaan yang saya capai dengan rekod tanpa kalah ini mudah dan pernah dicapai orang lain di negara ini,” kata petinju yang mula menempa nama di pentas antarabangsa pada usia 16 tahun dalam satu kejohanan di New Delhi, India.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here