KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri akan mengadakan taklimat harian bagi menjelaskan isu-isu semasa, dasar-dasar penting, serta perkembangan terkini yang perlu diketahui oleh rakyat.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, langkah itu dibuat kerana terdapat keperluan untuk mendapatkan fakta yang tepat dan sahih daripada Kerajaan Perpaduan.
“Tujuan utama taklimat ini adalah untuk memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi, yakni Pejabat Perdana Menteri.
“Melalui taklimat ini, Pejabat Perdana Menteri akan menjelaskan isu-isu semasa, dasar-dasar penting, serta perkembangan terkini yang perlu diketahui oleh rakyat. Ini juga merupakan langkah penting untuk menangkis penyebaran fitnah serta maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.
“Inisiatif ini juga selaras dengan gagasan Madani yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbiran dan rakyat, di samping membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber yang sahih dan tepat,” katanya dalam sebuah video yang dimuatnaik di Facebook rasmi Anwar Ibrahim, hari ini.
Tambahnya, sesi taklimat tersebut bukannya sidang media, sebaliknya sesi penerangan selama lima minit atau sehingga 30 minit jika bersifat interaktif.
Sesi ini bertujuan menjawab isu-isu semasa dan akan disiarkan secara langsung secara dalam talian menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, selain turut disiarkan secara langsung oleh RTM dan Bernama.
Dalam sidang video sama, Tunku Nashrul berkata, Anwar juga bersetuju untuk turun ke beberapa negeri sepanjang bulan Ramadan bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, selain bertemu masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa Madani.
“Butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi kerajaan. Pejabat Perdana Menteri menggalakkan semua rakyat untuk mengambil bahagian dalam majlis-majlis ini sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Pejabat Perdana Menteri percaya komunikasi yang jelas, keterbukaan dalam pentadbiran, dan pengukuhan nilai-nilai spiritual adalah elemen penting untuk mewujudkan kepercayaan antara rakyat dan kerajaan,” katanya.
Tunku Nashrul turut berkata, sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, Perdana Menteri akan melaksanakan Program Ihya’ Ramadan di kementerian-kementerian, yang mana program ini bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani, bukan sahaja dalam aspek ibadah, tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
“Sepanjang bulan Ramadan, Perdana Menteri akan mengunjungi pelbagai kementerian untuk menyantuni penjawat awam, diikuti dengan sesi tazkirah ringkas yang akan disampaikan oleh beliau sendiri serta penceramah jemputan.
“Melalui program ini, nilai-nilai seperti kejujuran, disiplin, dan tanggungjawab dapat diperkukuh dalam kalangan penjawat awam, selaras dengan teras kesejahteraan dalam gagasan Madani,” katanya lagi.
Butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi kerajaan. – MalaysiaGazette