KUALA LUMPUR – Pada 15 dan 16 Februari 2025, seramai 53 sukarelawan dari Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian, Universiti Malaya; Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM); National Cancer Society of Malaysia (NCSM); Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA); serta disokong oleh tajaan dana daripada Perlis Plantation Berhad (PPB) Group Berhad telah menyertai Program Khidmat Masyarakat bersama Orang Asli di Balai Raya Kampung Sena, Rompin, Pahang.
Program ini menyokong inisiatif KPT Prihatin MADANI dengan matlamat memberikan perkhidmatan kesihatan komuniti serta meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kesihatan melalui aktiviti promosi dan saringan kesihatan dalam kalangan masyarakat Orang Asli Kaum Jakun di Rompin.
Fakulti Pergigian Universiti Malaya merupakan salah satu institusi pendidikan kesihatan yang mengambil bahagian dalam program bermakna ini.
Program ini untuk memberikan perkhidmatan kesihatan pergigian kepada masyarakat orang asli di Rompin, di samping meningkatkan kesedaran mengenai risiko kanser mulut akibat tabiat mengunyah sirih dan pinang yang menjadi amalan harian mereka.
Sepanjang dua hari program ini berlangsung, seramai 261 penduduk kampung hadir ke Balai Raya Kampung Sena bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pergigian.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk pendidikan kesihatan mulut, penskaleran gigi (cuci gigi), aplikasi topikal fluorida khusus untuk kanak-kanak, serta saringan kanser mulut.
Sepanjang program ini, pasukan sukarelawan mendapati tabiat mengunyah sirih dan pinang merupakan amalan biasa dalam kalangan penduduk kampung, dan majoriti
mereka mengamalkan tabiat ini sejak usia muda.

Tabiat ini, bersama merokok, merupakan faktor risiko utama yang dikaitkan dengan peningkatan kes kanser mulut.
Kajian menunjukkan sirih yang dicampur dengan bahan tambahan seperti kapur, tembakau, atau bahan kimia lain boleh merosakkan tisu mulut dan meningkatkan risiko perkembangan sel kanser.
Selain itu, bahan kimia dalam asap rokok turut menyumbang kepada kerosakan tisu mulut serta perubahan dalam struktur sel yang boleh mencetuskan
penyakit berbahaya ini.
Oleh itu, program ini menekankan kepentingan kesedaran terhadap tanda-tanda awal kanser mulut dan kepentingan pengesanan awal.
Hasil pemeriksaan mendapati bahawa majoriti penduduk mengalami masalah kesihatan pergigian yang serius. Sebanyak 65% peserta mengalami kerosakan gigi (karies), manakala 64% menghadapi masalah gusi yang ketara. Selain itu, sekitar 44% mengamalkan tabiat mengunyah sirih pinang, sementara 45% daripada mereka adalah perokok aktif, termasuk wanita.
Menyedari keadaan ini, pasukan pergigian mengambil langkah proaktif dengan memberi penerangan mengenai tanda-tanda kanser mulut serta risiko yang berkaitan.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan langkah pencegahan, khususnya dalam kalangan golongan muda agar lebih prihatin terhadap kesihatan mulut mereka.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Kehadiran mereka memberikan impak positif, bukan sahaja dalam memperoleh pendidikan mengenai kesihatan gigi, tetapi juga dalam menanam kesedaran tentang kepentingan penjagaan diri.
Aktiviti interaktif seperti sesi mewarna dan demonstrasi “bersih saya sehingga bersih” dalam memberus gigi turut menjadikan pengalaman ini lebih
menyeronokkan, terutama bagi kanak-kanak.
“Sambutan terhadap pemeriksaan gigi sangat memberangsangkan, dengan ramai peserta sanggup menunggu giliran meskipun dalam keadaan hujan. Kami berharap program ini menjadi langkah awal dalam meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan penduduk Kampung Sena, Rompin.
“Dengan kerjasama daripada pelbagai agensi, kami berharap ia dapat memberikan impak positif kepada komuniti Orang Asli, khususnya Kaum Jakun di Rompin,” kata Prof. Dr. Norliza Ibrahim, Profesor di Fakulti Pergigian Universiti Malaya, yang terlibat dalam program ini. – MalaysiaGazette