KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menerima beberapa kertas cadangan daripada syarikat-syarikat yang menawarkan diri untuk membekalkan helikopter Black Hawk selepas kontrak pesawat tersebut dibatalkan baru-baru ini.
Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Kementerian Pertahanan (Mindef) kini sedang merancang untuk membuka semula tender bagi projek perolehan pesawat udara tersebut pada masa hadapan.
“Kementerian Pertahanan sedang merancang untuk buat tender semula projek dan apa yang berlaku sekarang adalah kita telah mendapat beberapa ‘proposal’ daripada beberapa syarikat yang menawarkan diri mereka untuk membekalkan pesawat udara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Tentera Darat ke-92 Tahun 2025 di Dataran Panglima Tentera Darat Kem, Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.
Tema Hari Tentera Darat ke-92 “Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Pemangkin Aspirasi Angkatan Masa Hadapan” melibatkan dua kontinjen yang terdiri daripada 9 detasmen, merangkumi 38 pegawai dan 878 anggota lain-lain pangkat.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan satu notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk telah dikemukakan kepada syarikat kontraktor yang gagal membekalkan empat helikopter Black Hawk untuk kegunaan TDM.
Beliau berkata, tindakan itu diputuskan selepas syarikat berkenaan tidak memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan sehingga akhir Oktober lalu.
Mengulas lanjut Muhammad Hafizuddeain berkata, nilai projek tersebut tetap kekal pada paras RM200 juta dengan keperluan sewaan selama lima tahun untuk empat buah pesawat sebagai syarat minimum.
Walau bagaimana pun, beliau menegaskan, TDM masih membuka ruang bagi sebarang proposal atau cadangan daripada mana-mana pihak yang berminat dan berkemampuan untuk memenuhi keperluan berkenaan.
“Itu saya rasa memberi sedikit cabaran kepada pengusaha-pengusaha atau kontraktor yang berminat ini dari segi ekonomi, macam mana mereka kata perkara itu agak mencabar,” ujarnya. – MalaysiaGazette