Khairol Najib Hashim

KUALA LUMPUR – Tindakan Pas merehatkan Razman Zakaria daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak sebagai satu kejayaan buat rakyat Perak.

Bahkan, tindakan ini merupakan langkah pembersihan yang sudah lama dinantikan rakyat negeri ini yang sudah muak dengan politik fitnah yang kian menjadi-jadi.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Perak, Khairol Najib Hashim berkata, sudah sekian lama Pas mendakwa menjadi parti yang memperjuangkan Islam, namun dalam masa yang sama membenarkan pemimpinnya berulang kali memfitnah orang lain tanpa rasa bersalah.

Sehubungan itu, katanya, tindakan merehatkan Razman seharusnya menjadi titik permulaan dalam usaha membersihkan imej Islam yang telah tercemar akibat tindakan beliau.

“Kita perlu ingat, dalam tempoh yang singkat, beliau telah memfitnah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, dan terbaru Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. Ini bukanlah perilaku seorang pemimpin yang menjunjung nilai-nilai Islam.

“Selama ini, imej rakyat Perak juga turut tercemar akibat tindakan beliau. Rakyat Perak secara tradisinya dikenali sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, beradab sopan dan menjunjung tinggi nilai-nilai murni. Tingkah laku Razman yang sering memfitnah dan mencetuskan kontroversi bukanlah mencerminkan budaya dan akhlak sebenar rakyat Perak.

“Menjelang kedatangan bulan Ramadan yang mulia, semoga tindakan ini mendorong Razman untuk bermuhasabah diri. Cukup-cukuplah imej Islam diburukkan dengan tingkah laku yang tidak mencerminkan nilai-nilai murni agama.

“Lebih menyedihkan apabila beliau sendiri sering melabelkan diri sebagai pejuang Islam, namun tindakannya jauh menyimpang dari ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, rakyat Perak tentu menyambut baik tindakan ini kerana ia menunjukkan suara mereka didengari.

Bahkan, mereka mahukan pemimpin yang berintegriti dan berakhlak mulia, bukan yang mengamalkan politik kotor.

“Seharusnya, apa yang berlaku ini menjadi pengajaran kepada semua ahli politik bahawa fitnah tidak akan membawa kejayaan yang berkekalan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here