Dr. Massila Kamalrudin dan Dr Musthafah Mohd Tahir mewakili UTeM menerima hadiah kemenangan ini yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri PETRA, Dato’ Sri Fadillah Yusof, di Majlis Apresiasi Anugerah Tenaga Kebangsaan 2024 yang telah diadakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melakar rantaian kecemerlangan berterusan dalam pengurusan tenaga lestari dengan merangkul Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2024 (Energy Management in Large Building) anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

Pengumuman dan hadiah kemenangan UTeM bagi NEA 2024 ini telah disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Petra, Datuk Seri Fadillah Yusof di Majlis Apresiasi Anugerah Tenaga Kebangsaan 2024 yang telah diadakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dengan kemenangan ini, UTeM menerima sebuah piala, sijil anugerah kecemerlangan serta wang tunai sebanyak RM 40,000.00, UTeM diwakili oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin dan Pengarah Pusat Alam Sekitar Pintar Profesor Madya Dr Musthafah Mohd Tahir menerima hadiah kemenangan ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, kejayaan ini membuktikan UTeM sebagai satu-satunya organisasi dalam kalangan instituisi pengajian tinggi (IPT) atau bukan yang menang di NEA dua kali bertutut-turut yang mana kemenangan pertama UTeM pada NEA 2021.

Jelasnya, rantaian kejayaan cemerlang ini menzahirkan komitmen berterusan UTeM menjadi peneraju serantau dalam bidang pengurusan tenaga lestari di samping
menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Ia berfokus kepada 2 bidang SDG iaitu SDG11 (Bandar dan Penempatan Mampan) dan SDG12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab),” katanya.

Mengupas kejayaan ini, Massila berkata, UTeM mempunyai formula tersendiri antaranya adalah menerusi strategi mengadaptasi Sistem Pengurusan Tenaga Lestari di bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS) yang disesuaikan dan diintegrasikan ke dalam sistem pengurusan universiti dan disokong pula dengan inovasi dalam pengurusan tenaga yang berkesan.

“Terdahulu UTeM telah strategikan dengan perancangan pengurusan tenaga yang jelas dan usaha bersama seluruh warga UTeM dalam menjalankan aktiviti kecekapan tenaga selain kecemerlangan koordinasi di semua Pusat Tanggungjawab dan Pusat Berkuasa Universiti (PBU) yang diketuai oleh Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi),” katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global) Profesor Madya Ts. Mohd Rahimi Yusoff menyatakan kemenangan berturut-turut ini telah menonjolkan dan meletakkan UTeM di landasan terbaik bagi menyokong Teras Strategik UTeM 2023-2025 yang ke 5 (Mengembang Nilai, Menggamit Kemakmuran), melalui pengukuhan penjenamaan dan kedudukan.

“Pada masa yang sama kejayaan ini turut memberi peluang kepada UTeM untuk meluaskan kerjasama strategik dengan organisasi peringkat kebangsaan mahupun
antarabangsa terutama penyelidikan yang berfokus dalam membantu dunia merealisasikan matlamat berkaitan SDG,” katanya.

Mengulas tentang cabaran dalam melaksanakan Sistem Pengurusan Tenaga Lestari, Ketua Projek NEA dan AEA 2024, merangkap Ketua Bahagian Tenaga Pintar, CENSEi dan Pengurus Tenaga UTeM, Ir. Dr. Mohamad Firdaus Sukri mengakui wujud cabaran besar memandangkan UTeM boleh dikatakan sebuah organisasi yang besar dengan jumlah staf dan pelajar yang ramai.

Tambah beliau, UTeM mempunyai keunikan yang tersendiri kerana pengurusan tertinggi dan warga UTeM secara keseluruhannya mempamerkan komitmen yang jitu
dan konsisten dalam memastikan kejayaan pelaksanaan pengurusan tenaga lestari di UTeM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here