Salah seorang pelajar yang menerima bantuan komputer riba.

BATU PAHAT – Sebagai tanda prihatin, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjana RM5 juta dana sumbangan pada tahun 2024 bagi membantu kebajikan para pelajarnya terutama golongan B40.

Dana yang dikumpulkan di bawah Kluster UTHM Prihatin itu adalah hasil sumbangan pelbagai pihak antaranya kakitangan universiti, orang awam, industri dan badan korporat.

Menurut Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, dana yang terkumpul itu telah memberi manfaat kepada 11,899 penerima yang terdiri daripada pelajar golongan B40.

“Bantuan yang mereka terima adalah berbentuk tunai melibatkan peruntukan sebanyak RM4,591,535.09, yang disalurkan melalui bantuan zakat dan sumbangan daripada Yayasan UTHM, Dermasiswa Pusat Islam, Dermasiswa My Brighter Future serta Dermasiswa TVET B40.

“Manakala bantuan berbentuk in-kind pula melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM366,180.00, yang disumbang oleh pihak seperti Percetakan Yayasan Islam Johor (PIJ), Mudik Raya Borneo, Yayasan UTHM, Yayasan Taqwa dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM,” katanya.

Selain itu, bagi meringankan beban kos sara hidup pelajar sepanjang pengajian, mereka turut diberi makanan secara percuma melalui program Foodbank Siswa, Sabil Al-Hikmah dan Gerobok Rezeki.

Manakala bentuk bantuan lain yang disalurkan termasuklah dana ihsan, bantuan yuran pengajian, kesihatan dan insurans pelajar, Program Sulung dan bantuan pendidikan daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Yayasan Perkasa Siswa (YKS), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Maghfirah.

Ruzairi berkata, setiap tahun UTHM akan memperuntukkan sejumlah dana bagi membantu para pelajar dan staf yang memerlukan, sekali gus menyokong usaha pembangunan infrastruktur pendidikan di kampus.

Selain itu, bagi menzahirkan keprihatinan universiti kepada masyarakat setempat, UTHM turut memberi manfaat kepada golongan asnaf dan komuniti luar yang ditimpa musibah.

“Inisiatif yang telah dilaksanakan ini mencerminkan keperihatinan universiti dalam menyokong usaha kebajikan dan pembangunan pendidikan khusus untuk manfaat warga universiti dan juga komuniti setempat,” katanya.

Beliau yang mewakili universiti turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menyokong kesemua program kebajikan dan pembangunan pendidikan yang telah dilaksanakan pada tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here