KUALA LUMPUR – Kelab K-League 1, Jeonbuk Hyundai dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi bagi jendela perpindahan akan datang, lapor laman Markaj News.
Laporan berkenaan mendakwa kelab Korea Selatan tersebut menunjukkan keseriusan untuk mendapatkan pemain sayap lincah berusia 23 tahun itu.
“Pemain berusia 23 tahun itu cemerlang pada musim ini bagi saingan liga Malaysia serta Liga Juara-Juara AFC musim ini,” kata laporan tersebut di laman X.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berhubung sebarang tawaran daripada pihak Jeonbuk atau JDT berhubung berita yang tersebar ini.
Sebelum ini, beberapa kelab terkemuka dari Timur Tengah seperti Persepolis dan Tractor dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Arif Aiman susulan aksi konsisten yang ditampilkan oleh Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia ini, termasuklah dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE).
Ketika ini, Arif Aiman yang telah menyumbang tujuh gol dan 12 bantuan jaringan dalam 17 perlawanan liga itu dilaporkan dipantau rapi oleh pasukan gergasi Korea itu. – Agensi