Hameed Mytheen Kunju Basheer

MELAKA – Bekalan air di negeri ini dijamin mencukupi biarpun paras air di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah merekodkan penurunan sejak bulan lalu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, bekalan air di empangan itu berada pada paras 87.8 peratus dan diunjurkan kepada 73.3 peratus pada Aidilfitri ini.

Menurutnya, dua lagi empangan lain iaitu Jus dan Asahan di Jasin masih penuh masing-masing pada paras 95.8 peratus dan 100 peratus.

“Melaka juga sedang memohon kelulusan untuk meningkatkan pengepaman air daripada 160 juta liter sehari kepada 220 juta dari Sungai Muar, Johor bagi menampung keperluan rakyat.

“Jumlah kapasiti loji rawatan air di Melaka ketika ini adalah 736.4 juta liter sehari, lebih tinggi berbanding permintaan harian sebanyak 720 juta liter sehari,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, selain itu, langkah jangka pendek turut diambil dengan mengepam air dari kolam alternatif serta pelepasan air dari Empangan Jus sekali gus menjamin bekalan pada Ramadan dan Aidilfitri ini.

“Bagi pelan jangka panjang, beberapa projek sedang dibangunkan termasuk Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih dan Loji Air Jernih, dijangka beroperasi pada 2027.

“TAPS dijadualkan mula dibina tahun ini, yang menyaksikan penambahan sumber bekalan air mentah bagi negeri ini,” katanya lagi.

Tambah Hameed, kerajaan negeri juga sedang membangunkan Projek Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal yang berfungsi sebagai kolam dwi-fungsi untuk tebatan banjir dan sumber air tambahan bagi Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here