KUALA LUMPUR – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Itulah peribahasa menggambarkan tuah pembeli unit Aludra Residensi iaitu projek rumah bandar PKNS di Selangor Cyber Valley (SCV), Norliyana Nasir.
Beliau diumumkan sebagai pemenang bertuah dengan membawa pulang sebuah kereta Perodua Bezza 1.0G. menerusi Kempen PKNS 60 Tahun Giveaway.
Norliyana antara seramai 31 individu layak disenarai pendek untuk menyertai cabutan pemenang yang telah diadakan baru-baru ini di bangunan ibu pejabat PKNS.
Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran PKNS, Fadli Mohd Ariff berkata, kempen itu mencerminkan komitmen PKNS dalam usaha pihaknya memberikan penghargaan kepada pembeli rumah PKNS selain sebagai antara cara untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan mereka.
“Dengan membeli rumah yang berkualiti dan reka bentuk yang ideal, pembeli berpeluang menyertai kempen ini yang menawarkan hadiah menarik dan eksklusif kerana hanya seorang pemenang bertuah sahaja yang dipilih.
“Tahniah kepada Norliyana yang menjadi pemenang pertama Kempen PKNS 60 Tahun Giveaway yang julung kali dianjurkan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Kempen PKNS 60 Tahun Giveaway diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-60 PKNS tahun lalu dan berlangsung bermula 15 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu,
Ia adalah inisiatif Bahagian Jualan dan Pemasaran PKNS untuk meningkatkan jualan serta menggalakkan pembelian produk hartanah melalui tawaran hadiah menarik.
Secara tidak langsung, kempen ini turut membantu mengukuhkan jenama PKNS di mata masyarakat.
PKNS kekal komited untuk meneruskan penganjuran kempen yang lebih inovatif dengan ganjaran menarik pada masa hadapan. – MalaysiaGazette