Sumber : Jabatan Agama Islam Pahang

KUANTAN – Warga Pahang yang tidak menghormati bulan Ramadan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 dan penjara sehingga dua tahun.

Perkara itu termaktub di bawah Seksyen 22 mengikut Enakmen Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang.

Ia termasuk menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta pada waktu itu atau secara terbuka atau di tempat awam.

Manakala bagi kesalahan kali kedua pula memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 dan penjara sehingga tiga  tahun atau kedua-duanya.

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang memberi peringatan itu menasihatkan muslimin dan muslimat di negeri ini menghormati bulan penuh keberkatan ini dengan mengelak daripada perkara-perkara yang boleh mencemar kesuciannya.

“Sebagai umat Islam, marilah kita menunaikan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan.

“Jangan jadikan Ramadan sekadar menahan lapar dan dahaga, tapi manfaatkan peluang ini untuk memperbaiki diri, banyakkan ibadah serta menjauhi perkara yang dilarang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast