Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan pengeluaran wang bersasar lebih diperlukan oleh ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika ini berbanding pemberian dividen.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pengeluaran bersasar KWSP itu membolehkan penyimpan meneruskan kehidupan dalam situasi mereka yang sedang dihimpit bebanan kos sara hidup yang tinggi, kehilangan pendapatan, kehilangan pekerjaan dan keadaan ekonomi negara yang teruk.

Menurutnya, pemberian dividen tidak boleh dimanfaatkan oleh rakyat dalam keadaan segera, malah terdedah kepada salah urus yang boleh merugikan pencarum seperti yang didakwa berlaku dalam penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

“Bagi golongan penyimpan KWSP yang terdesak, yang telah bersara, yang kehilangan pendapatan dan yang kehilangan pekerjaan, soal dividen adalah perkara kedua.

“Bagi golongan penyimpan KWSP yang terdesak ini, pengeluaran KWSP secara bersasar lebih utama kerana mereka sedang berhadapan dengan tekanan dan bebanan kehidupan yang tinggi berikutan kenaikan harga barang yang melampau, kos sara hidup yang tinggi, bil eletrik yang tinggi, tekanan hutang dan pelbagai tekanan lain berikutan keadaan ekonomi negara yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang sebelum ini disifatkan `memaksa’ pencarum mencagar simpanan hari tua mereka untuk mengambil pinjaman daripada institusi kewangan menerusi program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2).

Ujarnya, golongan pencarum yang terdesak tiada pilihan dan terpaksa membuat pinjaman secara cagaran simpanan hari tua mereka itu untuk meneruskan kehidupan.

Kata beliau, sekiranya KWSP membenarkan pengeluaran bersasar sebanyak RM10,000 seorang kepada 200,000 orang penyimpan yang terdesak memerlukan wang, jumlahnya baru RM2 bilion.

Menurutnya, jumlah itu masih terlalu kecil iaitu hanya 2.7 peratus berbanding jumlah pengagihan dividen tahun 2024, iaitu RM73 bilion (2.7 peratus) dan tidak sampai 0.16 peratus daripada jumlah keseluruhan dana pelaburan KWSP iaitu sebanyak RM1.25 trilion.

Malah, tambah beliau, selepas diberi kepada penyimpan yang terdesak itu, dana pelaburan KWSP masih berbaki RM1.248 trilion.

“Peliknya, kenapa kerajaan boleh dengan begitu mudah menggunakan wang KWSP rakyat untuk ‘menjual murah dan membeli mahal’ saham MAHB sedangkan rakyat pula dipaksa meminjam dan mencagar simpanan KWSP mereka?

“Kenapa perlu paksa rakyat mencagar wang simpanan hari tua mereka dan meminjam daripada bank semata-mata untuk mengeluarkan wang simpanan sendiri sedangkan kerajaan dan KWSP boleh saja membenarkan pengeluaran secara bersasar kerana ia tidak menjejaskan dana pelaburan KWSP yang berjumlah RM1.25 trilion?

“Ini wang mereka dan mereka terdesak memerlukan wang ini sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast