Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff

KUALA LUMPUR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) mendakwa, pendapatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibimbangi menurun sebanyak RM3 billion setahun sekiranya badan itu mengikut cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangannya, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, Perdana Menteri pernah mencadangkan kepada KWSP untuk meningkatkan pelaburan domestik dari 64 peratus kepada 70 peratus pada 2022.

“Walapun cadangan PMX untuk meningkatkan pelaburan domestik bakal memberikan keuntungan di pasaran domestik sebanyak RM4.11 bilion, namun pasaran global dijangka mengalami pengurangan keuntungan RM7.08 bilion.

“Jadi pengurangan keuntungan KWSP keseluruhan adalah RM2.971 Billion.

“Nasib baik KWSP tak ikut cadangan PMX untuk tingkatkan pelaburan domestik sehingga 70 peratus. Kalau tidak, dividen yang patut diterima oleh pelabur mesti berkurangan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi iaitu 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, Konvensional dan Syariah.

Menurutnya, kadar dividen bagi simpanan Konvensional dari jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion; manakala bagi simpanan Syariah, membabitkan agihan berjumlah RM10.19 bilion.

Nurul Islam berkata, KWSP sudah mempunyai jawatankuasa pelaburan, terdiri daripada pakar untuk berbincang dan memilih peratusan pelaburan domestik dan global yang optimum bagi menjamin pulangan terbaik.

“Saya bimbang dengan campur tangan oleh PMX ni, bakal menyebabkan keuntungan KWSP semakin berkurangan dan kesannya pencarum seperti kita akan menerima pulangan berkurangan,” katanya.

Sebaliknya Nurul Islam menasihatkan Perdana Menteri agar tidak mengganggu KWSP dan beliau perlu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada jawatankuasa pelaburan sedia ada.

“Sudahlah PMX, jangan diganggu KWSP. Biar dorang buat pelaburan mengikut keputusan jawatankuasa pelaburan mereka yang lebih pakar.

“Mereka tidak perlukan campur tangan daripada seorang graduan sastera dalam menentukan hala tuju pelaburan KWSP.

“Lagi elok PMX fokus kerja Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (jawab isu negara) dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (cari beras tempatan yang hilang) daripada ganggu kerja pakar dalam KWSP,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here