KUALA LUMPUR – Johor Motorsports Racing (JMR) mengumumkan Chevrolet sebagai pembina (pengeluar) jentera baharu bagi musim 2025, yang dilihat sebagai satu pencapaian penting pasukan itu.

Dua pemandu JMR, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim akan memandu Corvette Z06 GT3.R, menjadikan JMR sebagai pasukan pertama di rantau ini menggunakan kereta lumba itu dengan dua kereta akan beraksi pada musim ini.

Pengarah Program Pertandingan Chevrolet Motorsports Mark Stielow berkata adalah satu penghormatan bagi Chevrolet untuk mengalu-alukan JMR sebagai pasukan pelanggan Corvette Z06 GT3.R.

“Kami teruja untuk menyaksikan dan menyokong Tunku (Abdul Rahman) Jefri, Tunku Abu Bakar serta seluruh JMR sepanjang musim ini.

“Kami juga gembira melihat minat yang berterusan terhadap Corvette GT3 di seluruh dunia dan berharap dapat membina kerjasama dengan JMR kerana ini akan memberi lebih pendedahan dan peluang bukan sahaja kepada Corvette Racing tetapi juga jenama Corvette dalam pasaran baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tunku Abdul Rahman yang juga presiden dan pemandu utama pasukan JMR, turut gembira dengan kerjasama baharu itu.

“Saya masih ingat ketika pertama kali melangkah ke Ibu pejabat GM (General Motors) di Detroit (di Amerika Syarikat) dalam satu lawatan. Kemudahan yang mereka miliki amat luar biasa dan saya kagum dengan apa yang saya lihat.

“Semua warga GM amat menyambut baik membuatkan saya tidak sabar untuk memulakan musim dan bekerja bersama pengeluar baharu. Kami juga gembira menjadi pasukan pertama yang mengendalikan Z06 di rantau ini, terutama dengan dua kereta pada musim ini dan berharap ia akan menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih panjang dan berjaya,” katanya.

Sejak penampilan sulung mereka pada 2019, bekerjasama dengan Triple Eight Race Engineering dan Mercedes-AMG Customer Racing, JMR merangkul tiga gelaran juara dan meraih 53 kedudukan podium.

Tahun paling cemerlang bagi pasukan itu ialah pada 2022 apabila memenangi Kejuaraan GT World Challenge Asia Team dan Pro-Am (Tunku Abdul Rahman), selain Kejuaraan GT Australia Endurance.

Tunku Abdul Rahman turut meraih naib juara Pro-Am dalam Kejuaraan GT World Challenge Australia 2021 dan Siri Le Mans Asia 2024, manakala adinda beliau, Tunku Abu Bakar menamatkan musim sulungnya sebagai naib juara bagi Kejuaraan GT World Challenge Asia 2023.

Syarikat pengeluar adalah yang mereka bentuk dan membina kereta lumba untuk pertandingan.-BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here