Zahid parti
Gulam Muszaffar Gulam Mustakim membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto UMNO ONLINE, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Penghargaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagaikan “indah khabar dari rupa” sedangkan semangat perpaduan itu tidak dirasai di peringkat Wilayah Persekutuan.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar mendakwa, UMNO, MCA dan MIC di Wilayah Persekutuan tidak dilayan seperti rakan Kerajaan Perpaduan kerana tiada sebarang peruntukan dan kerjasama langsung sejak penubuhannya.

“Tiada langsung perbincangan dua hala untuk membuat dasar dan kerjasama politik diadakan.

“Mungkin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan tidak pernah mengiktiraf dan menghargai UMNO dan BN Wilayah Persekutuan.

“Jauh sekali Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan tidak berminat untuk berurusan dengan kepimpinan UMNO dan BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri mengulangi penghargaan beliau kepada kepimpinan UMNO dan BN dalam Kerajaan Perpaduan yang terus kukuh mempertahankan kestabilan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kepimpinan parti terutamanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Gabungan Parti Sarwak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah tidak melayan sebarang cubaan merosakkan kerukunan kerajaan sedia ada.

Selain itu, Gulam sebagai Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan dan Pengerusi BN Parlimen Batu berkata, pengakuan Perdana Menteri itu mengesahkan wujudnya cubaan membeli Ahmad Zahid sebelum ini untuk dijadikan Perdana Menteri Ke-11.

“Terima kasihlah Yang Amat Berhotmat PMX, tetapi apa yang kami rasa di Wilayah Persekutuan tidak seperti yang digambarkan oleh YAB PMX.

“Mungkin takut ditanya soal Titah Addendum Diraja yang melibatkan Bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya.

Lebih dikesali katanya, wakil UMNO dan BN di sini tidak pernah diundang untuk menghadiri majlis-majlis rasmi mahupun walkabout yang dihadiri Perdana Menteri di sekitar Parlimen Wilayah Persektuan.

“UMNO dan BN Wilayah Persekutuan hanya bergerak sendiri dan mungkin kena memikirkan jika ianya berterusan langkah politik untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu diubah di Wilayah Persekutuan.

“Tidak guna kita dianggap hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. UMNO dan BN Wilayah Persekutuan juga ada maruah perlu dijaga,” katanya.

“Jangan nanti bila nasi sudah menjadi bubur baru nak terhegeh-hegeh mencari kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here