KUALA LUMPUR – Pengumuman kadar dividen yang tinggi oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka meningkatkan jumlah simpanan para pencarum dalam jangka panjang.
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) yakin pengumuman kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi simpanan konvensional dan syariah KWSP bagi tahun 2024 juga akan menambah caruman atau simpanan secara sukarela dalam kalangan pencarum KWSP demi manfaat jangka panjang.
“Peningkatan kadar dividen ini akan meningkatkan keyakinan para pencarum ke atas KWSP sebagai badan pengurus simpanan para pekerja di Malaysia,” kata presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menyifatkan. kadar dividen lebih tinggi ini merupakan satu khabar yang baik bagi para pencarum yang dianggarkan 15.9 juta orang.
Kadar dividen ini lebih tinggi berbanding tahun 2023, dan paling tinggi sejak tahun 2017.
Pada tahun lalu, KWSP membayar dividen 5.5% untuk simpanan konvensional, manakala 5.4% untuk simpanan syariah.
Dividen paling tinggi pernah diagihkan KWSP adalah 8.5% iaitu dari 1983 hingga 1987.
Menurut beliau, KWSP yang menjadi nadi simpanan usia tua pesara telah menunaikan fungsinya dengan baik dan efektif berbanding platform simpnan yang lain dalam negara termasuk bank.
“Kita perlu mengakui buat masa sekarang KWSP merupakan satu platform kebergantungan bagi para pencarum dalam mengharapkan pulangan yang lebih baik bagi mereka.
“Lantaran itu, UNI-MLC yakin dan percaya bahawa KWSP akan terus mempertingkatkan daya pelaburannya untuk menjana pulangan lebih baik demi manfaat dan kepentingan para pencarum. KWSP perlu terus mempelbagaikan platform menjana pendapatan dalam memberikan dividen lebih tinggi bagi tahun 2025 dan tahun-tahun seterusnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette