Umat Islam menunaikan solat sunat Tarawih pertama pada bulan Ramadan. Umat Islam di Malaysia akan menjalani ibadah puasa bermula esok ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 01 MAC 2025.

Oleh: Prof. Madya Dr Khadher Ahmad

KETIBAAN bulan Ramadan merupakan tempoh waktu yang ditunggu-tunggu oleh orang Islam. Bulan Ramadan merujuk kepada satu ketetapan ibadah yang diwajibkan untuk semua orang Islam berpuasa iaitu menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan amalan puasa berkenaan. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183, firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Sebagai seorang Muslim, kedatangan bulan Ramadan amat perlu disyukuri kerana bulan ini satu-satu bulan umat Islam diperintah untuk mengerjakan ibadah puasa secara menyeluruh. Sama ada dari kalangan orang kaya atau fakir dan miskin, tanpa mengira bangsa dan keturunan. Sehingga boleh dikatakan bahawa bulan Ramadan adalah merupakan satu pesta ibadah untuk seluruh umat Islam.

Sebagai orang Muslim yang taat kepada perintah Allah dan berusaha merealisasikan ajaran Nabi SAW, Ramadan menjadi satu wadah ibadah yang sangat penting. Hal ini kerana, pelbagai saranan yang dituntut untuk kita lakukan pada bulan ini.

Bahkan, sehingga ada amalan atau perkara yang diminta untuk kita kejar dan berusaha untuk mendapatkannya seperti berusaha untuk mencari Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir yang merupakan satu kesempatan yang hanya ada pada bulan ini sahaja. Selain daripada menunaikan kewajipan ibadah puasa yang difardukan itu, sepanjang bulan Ramadan dituntutkan untuk kita melaksanakan solat terawikh, melakukan qiamullail setiap malam, bertilawah al-Quran dan kalau boleh sehingga dapat khatam al-Quran sepanjang Ramadan, membanyakkan sedekah khususnya menjamu makan orang yang berpuasa berbuka puasa, menginfaqkan harta dan tenaga dan sebagainya lagi.

Sebab itu, kita boleh gambarkan bulan Ramadan merupakan bulan pesta dalam ibadah bagi umat Islam. Walaupun demikian, sebagai seorang Muslim, ketika menghampiri bulan Ramadan dan berada di dalam bulan ini, apakah kita telah mempersiapkan diri untuk bulan ini?

Dari itu, ada beberapa perkara yang boleh untuk kita sama-sama bersiap sedia bagi memastikan bahawa bulan Ramadan tahun ini adalah bulan yang terbaik dalam meraihkan pesta ibadah yang dimaksudkan. Pada masa yang sama dapat mencapai nilai ketaqwaan yang dijanjikan pada bulan ini.

Antara tindakan dan sikap yang perlu adalah adalah seperti berikut: Pertama: Berdoakan agar dipanjangkan umur supaya dapat lagi untuk bertemu dan berada sehingga genap sebulan penuh berada dalam bulan Ramadan ini. Ia bermaksud sejak permulaan awal bulan Rejab dan Sya’ban lagi, kita sangat digalakkan untuk sentiasa memohon doa kepada Allah SWT agar dapat dipertemukan dengan bulan Ramadan.

Bahkan, kita juga memohon agar diberikan ruang dan peluang untuk beribadah di dalam bulan itu, agar dapat meraih keberakatan yang ada di dalamnya serta dapat berusaha untuk mengecap malam yang terbaik daripada seribu bulan yang disebutkan sebagai malam al-Qadar (Lailatul Qadar). Allah SWT berfiman yang bermaksud: “Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan” (Surah al-Qadr ayat 3). Doa yang dituntut untuk kita panjatkan sebelum tibanya Ramadan adalah “Ya Allah, berkatkanlah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan” (Hadith riwayat Ibn Sunni dalam Amal al-Yaum wa al-Lailah, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman).

Atau ada juga doa lain yang disarankan iaitu dengan lafaz: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).” [Daripada hadith al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69)]  Manakala, ketika berada dalam bulan Ramadan, doa yang Nabi SAW sentiasa panjatkan adalah: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Pemurah dan suka mengampuni, maka ampunilah aku.” Doa ini boleh dibaca sepanjang bulan Ramadan.

Kedua: Ketika hampir bulan Ramadan, ambillah ruang masa untuk berusaha untuk menelaah dan mengulangkaji hal-hal yang berkaitan dengan ibadah puasa. Boleh kemas kini pemahaman kita tentang cara pelaksaan puasa, hal berkaitan hukum hakam, soal perkara yang membatalkan puasa dan sebagai lagi. Usaha ulangkaji adalah supaya kita sebagai umat Islam mempunyai mempunyai pemahaman yang benar tentang ibadah yang dilakukan.

Bukan hanya sebagai satu ikutan semata-mata atau memandangkan bulan Ramadan dan ibadah di dalamnya hanya sebagai rutin biasa atau memandang ia sebagai satu budaya semata-matanya. Sedangkan bulan Ramadan adalah satu bulan khusus yang ditentukan pelbagai amalan, maka perlu untuk kita memahami apa keperluan utama agar kita dapat melakukan ibadah tersebut dengan baik dan mendapat pahala yang berlipat ganda seperti yang dijanjikan Allah SWT. Rugilah jika amalan yang dilakukan hanya ikutan yang tidak difahami apa yang sepatutnya dilakukan dan dikejar dalam bulan tersebut.

Ketiga: Merancang pelbagai aktiviti yang menjana pahala yang berlipat ganda sesuai dengan apa yang disebutkan oleh Nabi SAW dalam hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap amal anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman (hadith qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku, dan Aku yang akan membalasnya. [Sahih Muslim, no.1151]. Hadith ini bermaksud bahawa pahala puasa, ganjarannya adalah luar biasa berbanding dengan amalan-amalan lain kerana, kadar pahala ditentukan sendiri di sisi Allah SWT. Bukan menggunakan kadar gandaan yang biasa.

Jadi, sebagai orang beriman, bulan puasa adalah ruang dan peluang keemasan yang ditunggu-tunggu bersama dengan perancangan yang disusun atur bagi memaksimunkan ibadah dalam bulan ini. Bahkan, juga merancang untuk tidak melakukan kejahatan, kemungkaran dan kezaliman kepada orang lain, termasuk kepada binatang sekalipun.

Mungkin peluang bulan Ramadan ini digunakan untuk mengerjakan umrah yang mana pahala mengerjakan umrah pada bulan ini adalah sama dengan pahala mengerjakan ibadah haji. Hal ini sesuai dengan hadith daripada Ibn ‘Abbas RA di mana Nabi SAW bersabda kepada seorang wanita Ansar yang bermaksud: “Sekiranya telah tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji.” Dalam riwayat Muslim: “seperti mengerjakan haji bersama aku (Rasulullah SAW).” (Sahih al-Bukhari, no.hadith 1782 dan Sahih Muslim, no.hadith 1256).

Justeru, sangat wajar kita merancang untuk melakukan pelbagai amalan yang dapat melipatgandakan pahala di bulan ini termasuk amalan-amalan khusus yang sangat disarankan yang hanya ada pada bulan ini sahaja seperti solat terawkih, menbayar zakat fitrah, mencari Laitatul Qadar dengan melakukan qiamullail pada 10 malam terakhir atau melazimi setiap malam sepanjang Ramadan, bersahur dan sebagainya lagi. Hal ini kerana antara amalan-amalan itu, hanya dapat dilakukan pada bulan Ramadan sahaja, tidak pada bulan-bulan yang lain.

Keempat: Memasang niat yang ikhlas kepada Allah SWT dalam melakukan apa sahaja sepanjang bulan Ramadan. Bahkan, meletakkan dalam hati bahawa kemungkinan
Ramadan ini adalah Ramadan terakhir, dan kemungkinan tiada lagi Ramadan bagi kita selepas ini. Hal ini kerana, sebagai seorang Muslim, kita tidak dapat menjamin sama ada kita masih hidup atau akan mati bila.

Semuanya dibawah ketentuan Allah SWT sahaja. Jadi, sebagai hamba yang taat dan patuh, kita akan bertekad sepenuh jiwa untuk meraih sebanyak mungkin pahala pada bulan ini atas alasan bahawa ia adalah peluang terakhir yang kemungkinan selepas ini tiada lagi penuh seperti ini.

Maka, dengan sepenuh hati berusaha untuk mengimarahkan bulan Ramadan ini dengan sebaiknya dan pada masa yang sama memanjatkan tawakal kepada Allah SWT atas apa yang dilakukan itu serta sepenuhnya mengharapkan agar kita diberkati dan diberikan keampunan serta rahmat-Nya sehingga berakhirnya Ramadan.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan Centre of Quranic Research UM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here