KUALA LUMPUR – Padat, sempit dan berbahaya!
Itu kebimbangan para peniaga di Bazar Ramadan Lorong Tunku Abdul Rahman di ibu kota berikutan susunan khemah dilaksanakan secara membelakang antara satu sama lain.

Tinjauan MalaysiaGazette hari pertama bazar itu mendapati situasi tersebut menimbulkan ketidakselesaan semua pihak dan lebih membimbangkan lagi aspek keselamatan pengunjung dan peniaga.
Bukan itu sahaja, wayar elektrik juga dilihat tidak kemas serta mengundang kemalangan kecil seperti pengunjung boleh tersadung atau terjatuh selain berlaku litar pintas dan menyukarkan operasi pemadaman.

Peniaga songkok buatan sendiri, Rostam Munab, 62, yang berniaga sejak tahun 1994 ditemui berkata, susunan khemah itu adalah pertama kali dilaksanakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, keadaan itu tidak sesuai dengan situasi jalan di lorong tersebut yang kecil sekaligus akan menyukarkan pengunjung untuk membeli-belah terutama pada waktu sesak.
“Dalam sejarah selama saya meniaga, tidak pernah buat back to back (seperti ini). Kalau orang ramai yang datang dekat sini macam mana? Terutama waktu kemuncak nanti.
“Lihatlah wayar elektrik yang tidak kemas, perlu dijaga (wayar) kalau tidak sesiapa boleh terkena renjatan. Jalan pun semakin kecil dengan peniaga kedai keluarkan barang mereka di bahagian belakang.
“Kalau boleh kami minta buat susunan seperti dulu memudahkan pengunjung tidak perlu merisikokan mereka,” luahnya pada pemberita ketika ditemui hari ini.

Peniaga pakaian, Yunalis Yunan, 58, turut meluahkan perkara sama dan memaklumkan terdapat beberapa kesan kepada peniaga berikutan susunan khemah seumpama itu sepanjang operasi bazar berlangsung.
“Masalah sekarang ada banyak faktor seperti jalan tidak rata (laluan pengunjung), wayar elektrik yang tidak kemas, dan situasi hujan lebat yang mana barang kami akan basah bila khemah rapat seperti ini.
“Kami sudah dua kali suarakan kepada pihak DBKL dan berbincang sama tentang hal ini tapi tidak didengari malah tiada sebarang respon daripada mereka.
“Boleh tengok sendiri laluan di tepi ini tidak rata dengan ada longkang dan bayangkan bagaimana warga emas yang berkerusi roda atau ibu bapa bawa kereta dorong baby stroller ke bazar ini?” soalnya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Sherry Bahtiar, 47, terkejut dengan susunan khemah di bazar tersebut terutama dalam aspek keselamatan untuk berkunjung bersama keluarganya pada waktu kemuncak.
Ujarnya, susunan sebelum ini iaitu memberi laluan pengunjung di bahagian tengah lebih memadai berbanding laluan di tepi-tepi longkang atau laluan kecil yang diberikan oleh DBKL ketika ini.
“Saya dan keluarga memang kerap kali datang ke sini, ditambah sekarang ada Bazar Aidilfitri memang wajib datang dan bila dengar DBKL buat khemah back to back memang terkejut sangat dengan susunan ni.
“Sebelum ini buat macam biasa (susunan kiri dan kanan) pun orang sudah sesak sebab kawasan ini tumpuan pelancong setiap tahun tapi bila mereka buat susunan sekarang ini lagi buat orang tak mahu datang.
“Kalau tengok keadaan sekarang memang laluan sempit gila, rasa boleh lalu dua orang sahaja kalau nak berjalan ramai memang payah,” ujarnya.

Sehubungan itu, mereka berharap pihak bertanggungjawab terutama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa turun padang melihat senario yang berlaku.
Selain itu, mereka melihat semula stuktur susunan khemah di bazar tersebut dan mencari mekanisme bagi memberi keselesaan kepada pengunjung serta peniaga. – MalaysiaGazette