MELAKA – Polis melumpuhkan kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dicampurkan ke dalam air minuman botol berperisa digelar ‘jus dadah’ sebelum ia dibekalkan di pusat hiburan sekitar negeri ini sejak sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejayaan itu susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun di Banda Hilir di sini kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu.
Menurutnya, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Tengah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hasil aduan awam dan risikan yang dijalankan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek, polis menjumpai 62 botol minuman pelbagai jenama mengandungi bahan disyaki dadah MDMA dengan isipadu anggaran berat 28,910 mililiter (ml) bernilai RM17,500.
“Turut dirampas 105 peket serbuk minuman pelbagai jenama disyaki dadah MDMA anggaran berat 4,173 gram bernilai RM31,500, serbuk ketamin 21.81 gram bernilai RM4,000, pil Eremin 5 berat 5.54 gram (RM400) dan pil ekstasi 10.92 gram bernilai RM1,200,” katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.

Menurutnya, keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM54,600 yang boleh digunakan seramai 21,159 penagih dadah.
“Hasil risikan awal dijalankan, aktiviti pengedaran dadah ini adalah untuk pasaran tempatan terutamanya dibekalkan kepada pusat-pusat hiburan di negeri ini sejak sebulan lalu.
“Modus operandi digunakan adalah suspek yang bergerak solo mengambil dadah yang dibekalkan dari satu tempat dan meninggalkannya di satu tempat lain sebelum ianya diambil pelanggan,” katanya.
Christopher dalam serbuan itu, polis turut menyita motosikal suspek dan sebuah kereta yang dijadikan tempat simpanan dadah dan diparkir di sebuah kawasan kondominium bagi memudahkan suspek mengambil bekalan dadah di situ.
“Suspek turut mengaku dibayar gaji sehingga RM800 seminggu untuk membuat pengedaran dadah sejak sebulan lalu walaupun sebelum ini dia dijanjikan pekerjaan lain oleh kenalannya.
“Semakan turut mendapati suspek berasal dari Johor turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes gaduh. Hasil ujian saringan air kencing bagaimananapun mendapati suspek negatif dadah,” tambahnya lagi.
Suspek direman tujuh hari bermula 2 Mac sehingga 8 Mac ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette