Persekitaran tapak bazar yang sempit dan merbahaya menyukar pengunjung dan peniaga di Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Susunan baharu Bazar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) adalah bagi mencegah aktiviti penjualan tapak secara tidak sah serta memastikan setiap tapak digunakan sepenuhnya oleh peniaga berdaftar.

Dewan Bandaraya kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan untuk menyusun gerai secara bersebelahan belakang ke belakang dibuat berdasarkan sesi post-mortem Bazar Ramadan 2024.

“Dengan ini, kami dapat mengawal peniaga daripada meluaskan kawasan niaga melebihi saiz yang ditetapkan selain memastikan kelancaran trafik bagi mengelak ketidakpuasan hati dalam kalangan peniaga premis lain.

“Secara tidak langsung, dapat mengoptimumkan ruang dengan lebih efektif serta meluaskan lagi ruang pejalan kaki untuk mengurangkan kesesakan,” katanya.

Susunan baharu ini juga dapat memberikan pengalaman membeli-belah lebih selesa kerana tiada halangan visual.

“Kami turut mengambil maklum tentang kebimbangan mengenai keselamatan pendawaian elektrik, risiko barang jualan terdedah kepada hujan, serta persepsi bahawa laluan menjadi lebih sempit

“Oleh itu, pihak berkuasa telah memastikan sistem pendawaian dalam khemah lebih selamat dan teratur, selain menilai susun atur khemah untuk memastikan kurangnya risiko kerosakan barang akibat hujan.

“Dua sesi perjumpaan bersama peniaga juga telah diadakan pada 3 dan 17 Februari lalu bagi memberikan penerangan terperinci,” ujarnya.

DBKL juga akan terus mengadakan pemantaun berterusan sepenjang tempoh bazar bagi menangani sebarang isu yang memerlukan tindakan segera.

“Kami akan terus komited bagi memastikan penganjuran bazar lebih tersusun, selamat dan mesra pengunjung.

“Segala maklum balas daripada peniaga dan pengunjung akan terus dipertimbangkan bagi mencapai keseimbangan antara keperluan peniaga dan keselesaan orang ramai,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

Susunan khemah di Bazar Ramadan Lorong TAR sempit

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast