Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 28 MEI 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak telah memohon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memanggil dua bekas peguam syarikat itu sebagai saksi pada prosiding kes penyelewengan dana RM2.3 bilion yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Ppeguam utama Najib, Tan Sri Shafee Muhammad berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada 1MDB namun belum mendapat maklum balas.

Katanya, beliau juga memohon kepada pasukan pendakwaan untuk membantu pasukannya dalam perkara tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya sudah menerima salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co dan telah merujuk perkara tersebut kepada 1MDB pada 18 Februari lepas.

Namun kata Ahmad Akram, keputusan bergantung kepada 1MDB.

Ahmad Akram juga meminta pasukan pembelaan untuk menyediakan saksi-saksi lain supaya prosiding dapat diteruskan tanpa membuang masa sementara meninggu keputusan daripada 1MDB.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee memberitahu, pihaknya tidak dapat meneruskan pemeriksaan semula terhadap saksi pasukan pembelaan, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin kerana gangguan teknikal pada 27 Februari lepas.

“Kita hanya terima transkrip pagi ini dan belum teliti lagi, kami perlu masa sebelum pemeriksaan semula dengan saksi ini,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib sedang membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here