KUALA LUMPUR – Amalan pencampuran beras beras putih tempatan (BPT) dan beras putih importt (BPI) berlaku sejak tahun 1970-an lagi, iaitu selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan terdahulu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, amalan itu bukannya baru berlaku ketika pemerintahan kerajaan sekarang.
Beliau memberitahu, sepanjang pelaksaanan Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT), kementeriannya telah menerima maklumat bahawa kampit BPI yang dijual di pasaran mengandungi campuran kandungan BPT dan BPI.
“Untuk mengesan dan mengesahkan pencampuran ini, KPKM telah mengarahkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membangunkan teknologi yang boleh mengesan pencampuran beras.
“Hasilnya, MARDI berjaya membangunkan teknologi berasaskan cap jari asid deoksiribonukleik (deoxyribonucleic acid – DNA) yang mampu mengesan varieti dan sumber asal beras dengan bukti saintifik.
“Melalui teknologi ini, analisis dijalankan dengan membuat perbandingan profil DNA beras melalui sampel yang diperolehi dengan profil DNA padi varieti tempatan yang telah diisytiharkan di Malaysia.
“Keputusan analisis oleh MARDI menunjukkan wujud persamaan profil DNA dengan varieti padi tempatan atau dengan kata lain berlaku percampuran BPT dengan BPI dalam kampit BPI.
“Bagaimanapun, berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan yang khusus yang jelas bagi pendakwaan kes di mahkamah mengenai kesalahan percampuran beras,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar), yang mahu tahu ke mana perginya beras tempatan untuk rakyat sedangkan keluasan sawah negara adalah lebih 644,854 hektar dan mengeluarkan lebih daripada 2.4 juta tan metrik padi semusim.
Bulan lalu media melaporkan, kira-kira 40 hingga 50 peratus BPI daripada 5,000 sampel yang dianalisis MARDI disahkan bercampur dengan BPT.
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata, kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga telah menjalankan kajian ke atas industri padi dan beras pada sejak awal tahun 2024.
Menurut beliau, hasil kajian tersebut telah dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 pada 17 Disember 2024.
“Berdasarkan dapatan MyCC, berlaku amalan proses pencampuran BPT dengan BPI di dalam industri padi dan beras.
“MyCC merumuskan bahawa tujuan pencampuran ini adalah untuk memenuhi cita rasa pengguna tempatan dan untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran.
“Susulan Mesyuarat JKKMN tersebut dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024, KPKM telah diarahkan supaya memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan bagi pertimbangan Jemaah Menteri.
“Untuk makluman, mekanisme bagi mengawal percampuran turut mendapat sokongan MyCC sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras,” katanya. – MalaysiaGazette