MELAKA – “Semoga kemuliaan Ramadan ini dapat membuka hati penyumbang untuk membantu saya dan isteri mengumpul RM344,844 untuk kos ubat penyakit kanser saraf anak tunggal kami berusia tujuh tahun.
“Sebagai juruteknik kilang dan isteri tidak bekerja, mustahil untuk saya mengumpul wang sebanyak itu dan saya benar-benar harapkan ihsan orang ramai untuk membantu untuk melihat Nur Sumayyah, 7 tahun sihat seperti sebelum ini,”.
Itu rayuan hiba Azroyhatta Md Jais, 35, mengenangkan nasib anak tunggalnya itu yang secara tiba-tiba disahkan mengidap kanser saraf atau neuroblastoma walaupun dilahirkan sihat tanpa sebarang simptom penyakit.
Menurutnya, episod hitam hidupnya dan isteri, Shakila Silah, 36, bermula pada 26 Oktober tahun lalu apabila Nur Sumayyah kerap demam pada waktu malam selama seminggu selain sakit perut.
“Hasil pemeriksaan di klinik, doktor mengesahkan tekanan darah anak tinggi sebelum merujuknya ke hospital kerana mungkin berkaitan apendiks.
“Selepas membuat pemeriksaan ultra bunyi, doktor mengesahkan terdapat ketulan di bahagian kiri perut dan meminta kami datang semula esoknya untuk imbasan CT (imbasan keratan rentas di dalam badan),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azroyhatta berkata, hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya dan isteri apabila doktor ketika itu memaklumkan ketumbuhan itu besar kemungkinan adalah sel kanser.
“Waktu itu badan kami berasa longlai, dunia tiba-tiba menjadi gelap mengenangkan anak yang aktif walaupun demam dan sakit perut tiba-tiba mengidap kanser.
“Saya dan isteri menangis semahu-mahunya apabila Nur Sumayyah dibawa menaiki ambulans pada 28 Oktober ke Hospital Tunku Azizah (HTA) di Kuala Lumpur.
“Luluh hati kami apabila doktor pakar mengesahkan ia adalah sel kanser neuroblastoma atau kanser saraf membuatkan kami menangis sepanjang hari kerana terlalu sukar menerima takdir yang amat perit ini,” katanya sebak.
Tambahnya, dia dan isteri bagaimanapun terpaksa melawan kesedihan selepas melihat Nur Sumayyah terus bersemangat dan kuat melawan penyakitnya itu walapun selepas prosedur mengambil sampel sumsum tulang dan kemoterapi.
Azroyhatta berkata, dia bersyukur kerana semua kos rawatan termasuk pembedahan membuang sel kanser pada 19 Februari lalu ditanggung dan berjalan lancar sehingga doktor berjaya mengeluarkan lebih 90 peratus ketumbuhan kanser.
“Bagaimanapun doktor mahu meneruskan proses kemoterapi untuk memastikan sel-sel kanser dapat dihapuskan walaupun pemeriksaan mendapati sel kanser tidak merebak ke organ lain.
“Cuma apa yang merunsingkan kami adalah apabila selesai semua prosedur ini, Nur Sumayyah perlu mengambil 15 botol ubat Qarziba keseluruhannya berjumlah RM344,844.
“Fungsi ubat ini adalah untuk mencegah kanser saraf itu daripada muncul semula yang dijangka mula diambil seawal September ini,” jelasnya.
Sebagai pekerja kilang dan isterinya surirumah, Azroyhatta berkata, adalah mustahil untuknya mengumpul wang sebanyak itu dan berharap Pusat Zakat Melaka dapat membantu mempercepatkan permohonannya sebelum ini.
“Alhamdulillah pusat zakat ada bantu cuma saya harap proses itu dipermudahkan selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga ada bagi bantuan RM500 sebulan.
“Kalau nak harapkan gaji saya yang tak sampai RM2,000 sebulan memang takkan cukup itu pun mujurlah majikan banyak membantu untuk meringankan beban,” katanya hiba.
Tambahnya, ketika ini dia dan isteri langsung tidak memikirkan persiapan baju raya menjelang Aidilfitri, sebaliknya memanjatkan doa dalam kemuliaan Ramadan mengharapkan Nur Sumayyah dapat kembali sihat seperti sedia kala.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Muamalat 04010042494728
atas nama Azroyhatta Bin Md Jais atau menghubunginya di talian 017-646 1436 untuk urusan lanjut. – MalaysiaGazette