Screenshot

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan membantah larangan penjawat awam mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan imej kerajaan termasuk berkongsi atau menyebarkan kandungan mengkritik dasar kerajaan.

Timbalan Ketua Biro  Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia parti itu, Lee Boon Shian menyifatkan larangan tersebut sebagai satu penindasan hak kebebasan bersuara yang dijamin menerusi Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, penjawat awam yang juga rakyat biasa sepatutnya menikmati kebebasan bersuara terutamanya dalam menghadapi dasar kerajaan.

“Sebagai penjawat awam, mereka bukan sahaja berkhidmat untuk kerajaan, tetapi juga merupakan sebahagian daripada rakyat yang berhak memantau serta memberikan pandangan yang membina terhadap kerajaan.

“Mereka perlu diberi hak untuk menyuarakan pandangan serta kritikan, bukannya dipaksa untuk berdiam diri atau mengunci mulut mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut beliau menegaskan, kerajaan tidak sepatutnya melihat kritikan sebagai kecaman sebaliknya cara untuk menambah baik perkhidmatan.

“Sama ada rakyat biasa atau penjawat awam, mereka tidak sepatutnya dinafikan hak ini.

“Kritikan penjawat awam terhadap dasar kerajaan tidak sepatutnya dilihat sebagai kecaman, sebaliknya ia merupakan pandangan yang boleh membantu kerajaan menilai, menambah baik, dan memperkemaskan dasar yang sedia ada. Ini adalah satu pemacu utama dalam kemajuan sosial,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa penjawat awam yang menyuarakan pandangan dan cadangan melalui saluran yang betul dapat membantu kerajaan meningkatkan kecekapan pentadbiran.

“Kerajaan seharusnya menggalakkan penjawat awam untuk menyuarakan pendapat mereka secara wajar tanpa menjejaskan tugas rasmi mereka,” tambahnya.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi aplikasi X memuat turun arahan larangan untuk penjawat awam membuat penyataan awam lisan atau bertulis yang boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan tentang apa-apa isu dan/atau memalukan atau memburukkan nama Kerajaan.

Menerusi kenyataan itu, larangan tersebut tertakluk Peraturan 19(1) dan 19(2), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here