Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Iftar media dan KDN di Bora Ombak Marina Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 MAC 2025

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji dan menyemak semula 73 kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah ini diambil susulan arahan jemaah menteri yang meminta KDN meneliti semula akta tersebut baru-baru ini.

“Kami sedang mengkaji 73 kesalahan tersebut dan akan mencadangkan beberapa kesalahan yang boleh diberikan jaminan, dengan mengembalikan kuasa itu kepada mahkamah.

“Inisiatif ini merupakan satu perubahan penting bagi kami serta pihak berkepentingan lain,” katanya ketika berucap pada majlis iftar bersama pengamal media di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Saifuddin turut menyatakan bahawa KDN komited dalam mengkaji semula Seksyen 30 Sosma yang menjadi perhatian dalam beberapa sesi libat urus kementerian.

“Seksyen 30 menyatakan bahawa jika seseorang ditahan melebihi 28 hari, mereka akan didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, serta Mahkamah Persekutuan.

“Sehingga proses ini selesai, individu berkenaan akan terus berada dalam penjara.

“Hasil libat urus kami menunjukkan terdapat banyak pandangan yang menyokong agar seksyen ini disemak semula,” jelasnya.

Menurut Saifuddin, kerajaan komited untuk melakukan reformasi terhadap Sosma bagi memastikan hak asasi setiap individu terus dilindungi.

Semakan terhadap akta ini bertujuan menyeimbangkan keperluan keselamatan negara dengan hak asasi manusia serta memastikan ia kekal relevan dalam menangani jenayah serius, kompleks, dan berstruktur yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here