KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya menggalakan semua pencarum beragama Islam memindahkan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mereka kepada simpanan patuh syariah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak bercadang mewujudkan dasar untuk mewajib semua pencarum beragama Islam untuk berbuat demikian daripada simpanan konvensional.
Namun beliau berkata, kadar dividen dinikmati kedua-dua jenis simpanan itu yang menunjukkan prestasi baik diharap dapat meyakinkan umat Islam tentang simpanan syariah.
Jelasnya, umat Islam juga harus diberi penjelasan tentang perbankan tanpa faedah dan beberapa instrumen syariah yang diperkenalkan.
“Kita tidak bercadang mewajibkan tetapi dengan bukti ini dan beberapa siri galakan serta penerangan, kita harap jumlahnya akan bertambah.
“Tiada dasar untuk mewajibkan tetapi menggalakkan. Umat Islam perlu diberikan penjelasan mengenai erti dan perbezaan perbankan tanpa faedah dan beberapa instrumen syariah diperkenalkan dalam instrumen kewangan kerana Malaysia mutakhir ini dianggap paling ke hadapan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai dasar mewajibkan pencarum beragama Islam mengalihkan caruman kepada simpanan syariah pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri.
Mengulas pengumuman KWSP yang mengisytiharkan kadar dividen luar biasa 6.3 peratus bagi kedua-dua simpanan konvensional dan simpanan syariah, Anwar merakam penghargaan terima kasih kepada pengurusan KWSP kerana prestasi, ketelusan dan kecekapan mereka yang menyaksikan rekod yang lebih baik.
“Setakat Disember 2024, sebanyak 63 peratus jumlah pelaburan KWSP adalah pasaran domestik iaitu RM 782 bilion.
“Pertumbuhan ini 11 peratus ketimbang 2023 dan pencapaian dividen yang juga kerana keyakinan pelaburan kepada dasar ekonomi Madani.
“Kita capai 51 peratus yang lebih tinggi daripada unjuran yang saya buat di sini tahun sebelumnya selain Bursa Malaysia mencatat peningkatan 12.9 peratus.
“Ini satu peningkatan yang besar dan kemudian dalam-dasar yang kita perkenalkan telah menarik perhatian kerana ketegasan dan beberapa langkah, reform institusi yang telah kita perkenalkan termasuk yang disebut Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal dan juga beberapa langkah lain institusi yang kita akan perkenalkan hari ini dan berikutnya,” katanya. – MalaysiaGazette