SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin bagi membatalkan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Hakim, Roszianayati Ahmad membuat keputusan tersebut selepas menolak notis usul yang dikemukakan oleh Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf pada 21 Januari lalu.
Jelas beliau, keputusan dibuat selepas mahkamah mendapati tiada kecacatan dalam pertuduhan berkenaan.
Menurutnya, pertuduhan tersebut merupakan undang-undang yang memberi peluang kepada ibu bapa kanak-kanak itu menjawab pendakwaan yang dihadapi mereka.
“Mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan itu, alasan ringkas dalam pertuduhan tersebut mahkamah mendapati tiada kecacatan dalam pertuduhan dikemukakan itu.
“Pertuduhan tersebut memiliki intipati kepada kesalahan yang dihadapi oleh tertuduh, ia adalah kehendak undang-undang bagi membolehkan pemohon-pemohon mendapat notis yang mencukupi untuk menjawab pertuduhan,” katanya.
Tambah beliau, dalam masa yang sama pihak pendakwaan juga mempunyai tanggungjawab untuk membuktikan cara pengabaian kanak-kanak itu dilakukan.
“Pihak pendakwaan mempunyai beban bagaimana membuktikan cara pengabaian itu dilakukan iaitu melalui keterangan-keterangan yang akan dikemukakan.
“Di samping itu, pihak pendakwaan mempunyai beban untuk membuktikan bahawa pengabaian tersebut mestilah suatu yang mungkin akan menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak tersebut,” ujarnya.
Ini bermakna, prosiding perbicaraan pada 11 Mac ini akan diteruskan.
Sebelum ini, pasangan itu memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan pertuduhan dihadapi mereka dengan alasan pertuduhan terbabit tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dan mereka turut memohon agar dilepas dan dibebaskan serta-merta.

Sementara itu, peguam mewakili pasangan tersebut Lavanesh Haresh Mahadevan berkata, tindakan selanjutnya adalah arahan kedua-dua anak guamnya.
“Terlalu awal untuk umumkan (tindakan selanjutnya) sekarang saya perlu bercakap dengan anak guam dulu dan dapatkan arahan seterusnya,” katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam.