KUALA LUMPUR – Sebanyak 60 peratus pegawai imigresen dapat dikurangkan selepas penggunaan sistem kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyBorderPass yang dilancarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Januari lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 68 pegawai akan bertugas apabila sistem ini dipasang sepenuhnya berbanding berbanding 172 pegawai pada satu-satu masa sebelum ini.
Menurutnya, isu ‘counter setting’ juga dapat diatasi kerana sistem keluar masuk negara sudah bergantung kepada penggunaan mesin disebabkan pengurangan tenaga kerja yang akan dialih ke tempat lain.
“Kalau kita hendak bercakap tentang isu integriti di pintu masuk, inilah jawapannya. Sebab sistem ini datang dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI) iaitu tahap penggunaan teknologi, pengecaman wajah dan juga anak mata selain daripada biometrik.
“Ini bermaksud tidak ada lagi pegawai yang tunggu di pintu masuk. Jadi isu ‘counter setting’ dengan sendirinya akan dapat kita atasi sebab tidak ada orang,” katanya pada sesi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) pada sesi soal jawab lisan.
Sementara itu, menjawab soal keselamatan data, Saifuddin berkata, pasport Malaysia merupakan 10 pasport paling terpercaya di dunia daripada segi integriti.
Menurut beliau, apabila pengguna masuk ke sistem MyBorderPass, maklumat akan terakam melalui gambar pasport yang diambil sendiri.
“Paling penting, aplikasi ini membolehkan seseorang sebelum memulakan perjalanan; dia boleh semak dulu status Lembaga Hasil Dalam Negeri dia. Jadi dia tak tersangkut lagi dekat lapangan terbang. Dia boleh semak.
“Kalau ada kes polis yang menghalang dia daripada ke luar negara, dia boleh semak. Dia ada rekod Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau tidak.
“Semua itu adalah ‘features’ tambahan yang membolehkan, memberikan kemudahan maksimum kepada ‘travellers’ apabila sistem MyBorderPass ini kita laksanakan sepenuhnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette