KURANG upaya boleh dikategorikan kepada banyak jenis antaranya kecacatan penglihatan, kecacatan pendengaran, kecacatan mental, kecacatan intelek, kecederaan otak, gangguan spektrum autisme, dan kecacatan fizikal. Seperti individu normal, orang kurang upaya juga memerlukan pekerjaan untuk meneruskan kehidupan. Tanpa pekerjaan, mereka mungkin bergantung kepada orang lain seperti ibu bapa dan juga kerajaan.
Malangnya, pelbagai halangan yang masih berleluasa di Malaysia hari ini menyumbang kepada beberapa cabaran yang dihadapi oleh orang kurang upaya. Halangan ini
termasuklah kebolehcapaian yang terhad, struktur pendidikan yang tidak mencukupi, dan faktor kemiskinan, yang mana ia memberi kesan negatif kepada kualiti hidup orang kurang upaya. Faktor sedemikian sering membawa kepada akibat yang tidak diingini bagi mereka seperti pengecualian sosial, stereotaip dan persepsi negatif, kesusahan kewangan, serta cabaran dalam bidang kesihatan fizikal dan mental.
Dalam konteks Malaysia, kesejahteraan psikologi dan mental golongan kurang upaya (OKU) kurang mendapat perhatian sewajarnya oleh bidang profesional membantu kerana disiplin perhubungan menolong seperti kaunseling lebih menumpukan kepada golongan bukan OKU. Terdapat pelbagai jenis OKU seperti OKU fizikal dan OKU mental. Sesetengah golongan OKU mental seperti OKU intelektual atau mereka yang mempunyai masalah pembelajaran tidak mendapat perhatian kerana anggapan bahawa golongan ini tidak berupaya dari segi mental untuk berfikir dan bertindak.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa meramalkan 386 juta orang dalam umur bekerja di dunia mempunyai beberapa jenis hilang upaya, dengan kadar pengangguran setinggi 80 peratus di beberapa negara (International Labor Organization, 2024). Tiada data spesifik berkenaan pekerjaan dan pengangguran orang kurang upaya di Malaysia.
Walau bagaimanapun, data dari 2018 menunjukkan kira-kira 4,500 orang kurang upaya bekerja di kedua-dua sektor awam dan swasta. Ini adalah kira-kira 1.4% daripada orang dewasa kurang upaya dalam umur bekerja (320,870) yang diketahui dalam daftar Orang Kurang Upaya Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun tersebut.
Sementara itu, pada tahun 2021, hanya 0.35% pekerja dalam perkhidmatan awam adalah orang kurang upaya, jauh lebih rendah daripada dasar yang menyasarkan kuota 1% dalam sektor awam (OKU Right Matters, 2024). Menyedari pentingnya orang kurang upaya memiliki pekerjaan, Bengkel Daya Klang, sebuah pusat latihan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, menyediakan pelbagai bentuk latihan yang membolehkan mereka memiliki kemahiran sebelum memasuki dunia pekerjaan.
Namun, satu elemen penting yang tidak boleh diabaikan ialah tahap keyakinan mereka sendiri untuk memasuki dunia pekerjaan. Halangan dari persekitaran, keluarga, dan masyarakat mungkin membantutkan usaha mereka untuk menjadi sebahagian daripada ahli masyarakat yang bekerja.
Menyedari kepentingan meningkatkan keyakinan dalam membuat keputusan kerjaya, penyelidik dan kaunselor dari Fakulti Pendidikan dan Fakulti Ekonomi serta Pentadbiran dengan kerjasama Bengkel Daya Klang dan Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya, telah menjalankan bimbingan kerjaya dan psikososial ke atas 12 orang kurang upaya terpilih selama 12 sesi.
Tujuan utama bimbingan ini adalah untuk meningkatkan keyakinan diri mereka dalam membuat keputusan berkaitan kerjaya dan seterusnya memiliki jati diri untuk bersaing dalam masyarakat. Program ini juga diharapkan dapat membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan status kewangan mereka. Peserta program ini adalah mereka yang mendaftar di Bengkel Daya Klang bagi mendalami kemahiran dalam pelbagai bidang, termasuklah kulinari dan pertanian. Usia mereka merangkumi remaja hingga dewasa.
Program ini dijalankan dalam beberapa fasa dengan mengambil kira keperluan peserta yang mempunyai masalah pembelajaran, menyebabkan proses bimbingan memerlukan masa yang lebih lama berbanding individu biasa. Pada fasa awal, peserta diberikan bimbingan untuk mengenali diri mereka sendiri dan memahami peranan mereka dalam persekitaran keluarga serta masyarakat.
Setelah mereka memahami identiti diri, peserta dibantu untuk melihat kepentingan pekerjaan dan kerjaya dalam kehidupan. Fasa seterusnya melibatkan pemadanan diri dengan pekerjaan yang sesuai berdasarkan minat dan keupayaan mereka. Program bimbingan ini bermula pada Disember 2024 dan dijangka berakhir pada Mac 2025.
Memiliki kerjaya membantu seseorang berfungsi dalam masyarakat dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan, sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan. Program bimbingan psikologi dan penyesuaian kerjaya ini diharapkan dapat meningkatkan jati diri orang kurang upaya agar mereka lebih berdikari dan berperanan dalam masyarakat.
Selain memberi impak kepada komuniti OKU melalui penyampaian ilmu dan kemahiran berkaitan kesihatan psikologi dan kerjaya, program ini turut memberikan manfaat kepada negara dengan memastikan OKU mendapat perkhidmatan yang inklusif. Dengan bimbingan yang sesuai, golongan ini berpeluang mengurangkan kebergantungan kepada sistem bantuan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Selain itu, kejayaan program ini juga mampu mempengaruhi polisi dan dasar kerajaan dengan menunjukkan keperluan untuk mempertimbangkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang, selari dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih inklusif.
Prof. Dr. Melati Sumari
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling,
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya