Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan pembaharuan bandar perlu dilakukan, tetapi bukan dengan cara mengeluarkan orang Melayu dari bandar.

Menurutnya, bandar-bandar lama di semua negara memiliki kawasan yang buruk, dipenuhi setinggan dan orang yang miskin.

Kebiasaannya, kata beliau, kawasan setinggan dan yang miskin itu sudah menjadi buruk dan hodoh, justeru perlu dibaharui.

Di Kuala Lumpur juga, ujarnya, penduduk di kawasan-kawasan itu majoritinya orang Melayu dan untuk membaharui kawasan tersebut, maka yang perlu keluar juga majoritinya orang Melayu.

“Apabila penduduk miskin dikeluarkan, pembaharuan tentu jenis yang mewah. Si miskin tidak mampu sewa atau beli flat yang harganya tinggi.

“Maka berkuranglah penduduk Melayu dalam bandar. Usaha Tun Razak untuk perbanyakkan orang Melayu dalam bandar akan terhapus. Bandar akan jadi tempat orang bukan Melayu,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut mengambil contoh perancangan pembaharuan bandar di Singapura yang mana semua kampung-kampung Melayu di negara tersebut diambil alih dan dibangunkan pangsapuri mewah.

Jelasnya, penduduk kampung di Singapura diagihkan di antara pangsapuri di tempat-tempat lain secara berkecamuk dengan orang kampung Melayu tidak lagi hidup bersama.

Menurut beliau, orang Melayu di Singapura ditenggelamkan ke dalam perumahan yang majoriti bukan Melayu, sekali gus menyebabkan kuasa politik orang Melayu terjejas.

“Perkara yang sama akan berlaku jika contoh Singapura ini ditiru. Jumlah orang Melayu dalam bandar akan kurang dan pemisahan antara Melayu dan bukan Melayu di negara ini akan jadi lebih luas.

“Dengan orang Melayu hidup terpencil di luar bandar segala kemudahan bandar akan terus tidak dinikmati oleh mereka. Dan perpaduan kaum tidak akan berlaku,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak khususnya pembangkang membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang didakwa boleh mengancam hak pemilik hartanah terutamanya penduduk bandar yang kurang berkemampuan.

Kerajaan sebelum ini bercadang membentangkan RUU PSB pada Jun atau Julai tahun ini yang mana antara cadangan utamanya adalah menurunkan nilai ambang persetujuan pemilik hartanah sebelum sesuatu projek pembangunan dapat dimulakan.

Ketika ini, Akta Hakmilik Strata mewajibkan persetujuan sebulat suara daripada pemilik hartanah sebelum sesuatu pembangunan semula dijalankan.

Namun, menerusi cadangan baharu di bawah RUU PSB, kelulusan bagi pembangunan semula dijangka lebih mudah diperoleh, namun dibimbangi memberi kesan kepada pemilik asal tanah dan hartanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here