Hantaran pada sebuah laman Facebook mendakwa papan tanda dan iklan di beberapa premis di Ipoh tidak mengutamakan bahasa kebangsaan.

IPOH – Kerajaan Negeri Perak bersedia untuk menyiasat dakwaan beberapa premis di sekitar Bandar Raya Ipoh yang dikatakan tidak menggunakan bahasa kebangsaan pada papan tanda dan iklan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, siasatan akan dilakukan sekiranya wujud sebarang aduan berhubung perkara itu.

Katanya, tindakan juga akan diambil bagi memastikan semua peraturan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dapat dikuatkuasakan.

“Mengikut peraturan, mana-mana papan tanda perlu mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan. Sekiranya mahu menggunakan bahasa lain, saiz tulisan bahasa kebangsaan perlu lebih besar.

“Kerajaan negeri mengambil maklumkan kita akan ambil tindakan selanjutnya dengan menyiasat dakwaan itu dalam memastikan semua peraturan berhubung perkara ini dipatuhi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Perak, dekat sini, pada Selasa.

Sandrea sebelum itu diminta mengulas berkenaan satu hantaran pada laman Facebook yang mendakwa penggunaan bahasa kebangsaan seolah-olah dipinggirkan pada papan tanda dan iklan beberapa premis di bandar raya ini.

Menerusi beberapa gambar yang turut disertakan, hantaran itu mendakwa premis yang tidak mengutamakan Bahasa Melayu dikesan berada di sekitar Jalan Dato Tahwil Azar.

Mengulas lanjut Sandrea berkata, pihaknya berharap perkara itu tidak cuba dijadikan isu dengan mendakwa wujud unsur atau cubaan untuk tidak menghormati bahasa kebangsaan dalam kalangan pemilik premis.

Jelas beliau, masyarakat diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan perlu berhubung perkara itu.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan premis yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan telah wujud sebelum daripada penguatkuasaan akta berkaitan.

“Mungkin ada papan tanda yang berada di premis telah lama atau berusia dan ada sejarah yang tersendiri.

“Walau bagaimanapun, saya tekankan bahawa kita akan lihat semula kepada perkara ini untuk tindakan sewajarnya seperti penyelarasan semula dan sebagainya,” katanya lagi. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here