Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk membuat pindaan dalam Jawatankuasa Majlis Perkhidmatan Parlimen sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dengan pelantikan dua Senator, empat ahli Parlimen ke dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen termasuk dua wakil daripada Pembangkang.

Pelantikan itu akan dibuat oleh jawatankuasa pemilih dan kelulusan oleh dewan masing-masing.

“Ini dimasukkan walaupun saya tegaskan, Penasihat Undang-Undang kata tidak perlu
kerana peraturan-peraturan yang sedia ada memadai. Tetapi untuk menjelaskan dan memenuhi tuntutan dan cadangan pembangkang, kita masukkan kedua-duanya, iaitu dua wakil Pembangkang dan pelantikan oleh Jawatankuasa Pemilih.

“Ini jaminan daripada Kerajaan Madani dan pindaan seterusnya dalam fasa kedua, Reformasi Pemerkasaan Institusi Parlimen Malaysia.

“Penambahbaikan dalam fasa kedua ini akan terus dilakukan melalui beberapa proses sesi libat urus seterusnya, termasuk Badan-Badan Bukan Kerajaan bagi memastikan mengambil kira pandangan yang menyeluruh dan seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

RUU yang melibatkan pindaan kepada Perkara 56, Perkara 57 dan Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan itu dibentangkan untuk diluluskan Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada kerajaan membentang RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dijadualkan hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut menyeru agar semua ahli Dewan Rakyat menerima kenyataan bahawa negara harus lebih matang dari sudut kebebasan dan demokrasi berparlimen.

“Oleh yang demikian, harus ada suara yang lebih bertanggungjawab untuk menyokong usaha ini sepenuhnya.

“Penggubalan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 adalah satu pencapaian yang akan dikenang dalam sejarah negara, satu legasi yang akan membentuk masa depan Malaysia yang lebih telus, berintegriti, dan berwibawa,” katanya.

Perdana Menteri menambah, pindaan tiga peruntukan Perlembagaan serta RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 akan membolehkan Parlimen untuk berfungsi sebagai sebuah institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.

“Dengan autonomi yang diperkukuh, Parlimen akan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan, menjaga kepentingan rakyat serta mengekalkan keseimbangan dalam sistem pentadbiran negara,” katanya.

“pindaan perlembagaan ini bukan sekadar pindaan kecil dalam sistem pentadbiran negara, tetapi satu reformasi yang boleh diungkapkan sebagai ibu kepada segala pembaharuan yang bakal menjadi mercu tanda dalam sejarah demokrasi Malaysia.

“Reformasi ini bukan saja mengembalikan kuasa autonomi Parlimen, tetapi juga memperkukuh doktrin pengasingan kuasa bagi memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan legislatif yang benar-benar bebas, berwibawa, dan berdaya saing.

“Inilah reformasi yang sudah dinanti-nantikan selama lebih tiga dekad, satu langkah berani oleh kerajaan yang akan menentukan hala tuju institusi demokrasi kita untuk generasi kini dan akan datang,” katanya. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here