KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor terus mengorak langkah memperkasakan penggunaan teknologi digital di bazar Ramadan menerusi pelaksanaan kod QR keselamatan makanan.
Ia bertujuan memastikan keselamatan makanan yang dijual, kata Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Menurut beliau, inisiatif yang diperkenalkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) membolehkan pengunjung mengakses maklumat mengenai kebersihan gerai dan garis panduan keselamatan makanan hanya dengan mengimbas kod yang dipaparkan.
“Kempen keselamatan makanan bertemakan Elakkan Keracunan Makanan melalui amalan Lihat, Hidu, Rasa dan Perhati & Pilih bertujuan mendidik peniaga dan pembeli mengenai pentingnya memilih gerai yang bersih serta memastikan pengendali makanan mengamalkan kebersihan yang baik.

“Selain itu, selaras dengan agenda pendigitalan usahawan negeri, peniaga didorong untuk menggunakan platform pembayaran tanpa tunai dan memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan operasi mereka.
“Ini kerana sekarang ramai yang tidak lagi membawa wang tunai ke bazar dan lebih selesa menggunakan kad atau sistem QR untuk transaksi,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Bazar Ramadan Sempena Program Ihya’ Ramadan di Shah Alam hari ini.
Dalam pada itu Mohd Najwan berkata, sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Selangor, pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor melalui Platform Selangor (PLATS) turut menyumbangkan 1,000 kotak kurma serta 500 kupon digital yang boleh ditebus di gerai terpilih melalui sistem QR.

Katanya, langkah itu bukan sahaja memudahkan urusan pembeli malah menggalakkan budaya digital dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, peniaga berdaftar dengan PLATS turut menerima apron, topi dan bahan promosi sebagai sebahagian daripada sokongan kerajaan negeri dalam memastikan perniagaan lebih tersusun dan profesional.
“Dengan adanya inisiatif ini, Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa sektor keusahawanan kecil dapat terus berkembang bukan sahaja sepanjang Ramadan tetapi juga sebagai persediaan jangka panjang ke arah ekonomi digital dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette