Oleh: Dr. Mohd Yusoff Ishak
MALAYSIA terus dihantui lambakan sisa elektronik (e-waste) yang diimport secara haram. Ini berlaku tatkala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengunjurkan sebanyak 24.5 juta unit e-waste akan dihasilkan dalam negara sepanjang 2025. E-waste adalah barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi atauusang seperti telefon bimbit, komputer, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin hawa.
Urusan e-waste dikawal ketat oleh pihak berkuasa termasuk melalui penyenaraian sebagai buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan pengawasan import e-waste sebagai bahan lusuh melalui Sijil Kebenaran daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) berdasarkan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. Kekurangan teknologi kitar semula dalam negara untuk mengurus sisa ini secara mampan menyebabkan lebih 60% e-waste yang dikendalikan tidak diproses dengan cara yang selamat.
Namun, serbuan pihak berkuasa terhadap 90 kilang e-waste haram di seluruh negara antara Januari 2024 sehingga Februari ini menyaksikan rampasan bahan dan aset bernilai RM3.8 bilion serta penahanan 538 individu. Kontena e-waste seakan mudah melepasi pintu pelabuhan melalui muslihat ikrar serta label palsu sebagai bahan lusuh atau sisa plastik oleh sindiket bagi mengaburi mata penguatkuasa.
Ini berlaku di sebalik hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967. Modus operandi digunakan untuk menyeludup e-waste termasuk menggunakan syarikat kitar semula sebagai topeng untuk membuang sisa secara haram.
Pada masa yang sama, syarikat Malaysia dikatakan aktif membeli e-waste pada harga premium serta sering bersaing untuk memperolehi e-waste dalam pasaran global
memandangkan kandungan logam emas, perak, platinum, paladium dan tembaga, yang boleh diekstrak untuk keuntungan lebih besar. Namun, komponen e-waste turut mengandungi bahan berbahaya seperti plumbum, merkuri dan kadmium yang berpotensi mencemari tanah dan sumber air, seterusnya memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia dan ekosistem.
Dedahan berterusan kepada bahan berbahaya ini boleh menyebabkan penyakit pernafasan, gangguan saraf dan kanser. Selain itu, pembakaran e-waste secara konensional membebaskan gas beracun yang mencemarkan udara dan membahayakan persekitaran. Kekangan penguatkuasaan di pelabuhan serta pulangan lumayan hasil aktiviti kilang haram menyumbang kepada lambakan e-waste.
Oleh itu, Malaysia perlu mengambil langkah drastik dengan memperketat pemeriksaan di pelabuhan menggunakan upaya teknologi terbaharu dalam pengesanan dan imbasan serta memindahkan beban pembuktian ketulenan kandungan kontena kepada pihak penerima tanpa menjejaskan kelancaran operasi pelabuhan. Pengukuhan ekosistem kitar semula e-waste melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) berteraskan ekonomi sirkular dengan insentif cukai yang lebih menarik kepada syarikat modal teroka contohnya berupaya membersihkan industri ini daripada stigma ‘haram’. Ini termasuk skim pembiayaan kredit kepada pelabur tempatan yang sanggup membangunkan teknologi hijau dalam pengurusan sisa.
Rentetan kepada inisiatif di atas, kerajaan disaran menetapkan sasaran 1000 pusat pengumpulan e-waste di seluruh negara menjelang 2026 untuk memudahkan proses kitar semula e-waste. Ini berupaya membantu kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sisa yang semakin kritikal.
Jurang dalam dasar pengurusan sisa di Malaysia perlu segera diperbaiki menggunakan pendekatan whole of government approach dengan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan E-waste menggabungkan JAS, JPSPN, MITI, Kastam, PDRM, SPRM, Pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat konsesi di bawah satu platform dengan tanggungjawab dalam koordinasi operasi, pertukaran data dan pemantauan pola pergerakan e-waste.
JAS perlu melibatkan JPSPN dalam operasi memerangi lambakan e-waste di Malaysia demi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan. Ini membolehkan tumpuan PDRM kembali kepada isu ketenteraman awam selain memberi peluang JPSPN menyokong aspek logistik, pelupusan sah dan pemantauan aliran e-waste. Paras maksimum denda di bawah Seksyen 34B Pembuangan Sisa Terjadual Secara Haram ke atas pemilik kilang haram perlu ditinggikan selari dengan RM3.8 bilion nilai barangan dan
aset yang disita bagi memberi mesej jelas kepada penyeludup, termasuk mengenakan penjara mandatori.
Ini juga bagi isyarat menghargai penat lelah agensi penguatkuasaan dalam membanteras penyeludupan e-waste. Kita perlu akur bahawa kempen kesedaran dan pendidikan awam tentang e-waste tidak memberi sebarang makna kepada sindiket. Jesteru, sektor terbabit perlu dipantau menerusi kerangka ESG penyedia perkhidmatan kewangan masing—masing.
Institusi perbankan negara harus memikul tanggungjawab dalam memastikan bank tidak menjadi penyedia kemudahan kewangan kepada para penyeludup e-waste mahupun pemodal yang tamak haloba. Terkini, bukan sahaja e-waste ditemui malahan anak peluru serta kelongsong yang jelas berbahaya atau dikawal selia di bawah undang-undang lain. Ini memerlukan semakan semula terma dan dasar berkaitan e-waste agar memberi gambaran lebih menyeluruh terhadap ancaman sebenar di lapangan kerana jelas operasi sindiket penyeludupan umpama pemborong sisa industri berbahaya.
Pelaksanaan Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) yang mewajibkan pengeluar bertanggungjawab terhadap pengurusan produk mereka sehingga ke fasa pelupusan
menjelang 2030 perlu diawalkan dengan penetapan sasaran lebih 80% daripada pengeluar barangan elektronik harus terlibat dalam program EPR menjelang 2030.
Sudut pandang kita dalam isu lambakan e-waste harus bersandarkan kepada kesejahteraan planet dan keselamatan negara, bukan lagi sekadar masalah alam sekitar atau permit dagang.
Tindakan segera dan bersepadu daripada kerajaan diperlukan bagi memastikan Malaysia tidak berterusan menjadi tempat lambakan sisa elektronik. Langkah penguatkuasaan pelbagai agensi sedia ada perlu diperhebat dengan syor supaya sekatan kewangan dikenakan terhadap pemunya kilang.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia