KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak merancang untuk melaksanakan ujian air kencing sebagai salah satu syarat pelaksanaan konsert ketika ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, kerajaan bersedia untuk meneliti keperluan dan kesesuaian berhubung sebarang cadangan serta perubahan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, ia berdasarkan perbincangan dengan semua agensi serta semua pemegang taruh terbabit dan ketika ini berkata terdapat garis panduan untuk rujukan penganjur mengenai aspek keselamatan yang perlu dipatuhi.
“Garis Panduan PUSPAL telah disediakan sebagai rujukan kepada penganjur persembahan mengenai aspek-aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan dalam penganjuran suatu persembahan melibatkan artis luar negara.
“Antaranya ialah penganjur hendaklah mengambil apa-apa langkah yang perlu sebelum, semasa dan selepas persembahan bagi memastikan tiada aktiviti berkaitan rokok, minuman keras dan dadah di lokasi persembahan sepanjang tempoh persembahan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Selangor akan mengesyorkan supaya ujian saringan air kencing dijadikan antara SOP terhadap pengunjung dalam usaha mengelak sebarang pembabitan dan pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri itu.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menyifatkan cadangan supaya ujian saringan air kencing dijadikan antara SOP terhadap pengunjung konsert untuk mengelak berlaku kes dadah, sebagai tidak praktikal kerana proses mengumpul serta menganalisis sampel urin mengambil masa yang lama. – MalaysiaGazette