TANGKAP layar video yang memaparkan aksi yang didakwa memperlekehkan agama Hindu oleh kakitangan ERA FM yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci berhubung tindakan tiga kakitangan ERA FM yang didakwa memperlekehkan agama Hindu menerusi satu video yang tular baru-baru ini.

Ia termasuk memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu bertujuan memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Kementerian Komunikasi telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio milik Astro yang dilihat mempersenda upacara agama lain dan dimuat naik di platform media sosial pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan video yang memaparkan tiga kakitangan ERA FM yang meniru tarian kavadi sambil melaungkan ‘Vel Vel’ secara tidak sopan, sekali gus mencemarkan kesucian kepercayaan masyarakat Hindu.

Tindakan kakitangan ERA FM itu turut mendapat kecaman Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang menyifatkannya satu penghinaan terang-terangan terhadap agama dan tradisi penganut Hindu di negara ini.

Sehubungan itu, Saravanan menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dan tegas terhadap ERA FM atas kelakuan yang disifatkan sebagai biadab tersebut.

Sementara itu, dalam satu video yang dimuat naik di laman sosial TikTok ERA FM, tiga kakitangan terbabit iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin mengakui kesilapan dan memohon maaf atas aksi mereka yang mengundang rasa kurang senang serta menyinggung kaum India tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here