Menteri Perpaduan yang juga Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 14 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Agong Dagang mengecam tindakan mempersenda atau menghina mana-mana agama, termasuk agama Hindu seperti yang dilakukan  stesen radio Era FM.

Sehubungan itu beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak mengikut peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi memastikan sebarang penyebaran kandungan yang bersifat menyentuh sensitiviti kaum di media masaa dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kita harus sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama dan budaya yang ada di Malaysia.

“Sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya menerusi kenyataan.

Tegasnya, tindakan sedemikian bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara ini.

“Sebagai sebuah negara yang majmuk, kita harus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa,” katanya.

Dalam masa yang sama Aaron mengingatkan supaya semua pihak tidak mencetuskan ketegangan atau perasaan benci antara penganut agama.

“Setiap tindakan yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara harus dipandang serius,” ujarnya.

Terdahulu, berdasarkan klip video itu yang tular, salah seorang pengacara Era FM yang dikenali sebagai Pak Azad dan beberapa kakitangan lain dilihat menari dengan nyanyian ‘vel vel’, seolah-olah mengejek tarian Kavadi Hindu itu.

Bagaimanapun, penyampai radio 3 Pagi Era, Radin Amir Affendi, Nabil Ahmad, termasuk Pak Azad kemudian membuat permohonan terbuka menerusi video yang dimuat naik di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here