KUALA LUMPUR- Bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dilantik sebagai Profesor Felo di Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk tempoh setahun, berkuatkuasa 4 Mac 2025.
Beliau yang juga bekas Timbalan Pengerusi, Ahli Lembaga Gabenor (BOG) UIAM, menerima surat lantikan tersebut daripada Rektor, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar di Kampus Gombak, hari ini.
Pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran dan sumbangan Dr. Zaini dalam bidang akademik, khususnya dalam kelestarian alam sekitar, dasar pendidikan tinggi, dan penyelidikan strategik.
Sebagai Profesor Felo KAED UIAM, beliau akan memainkan peranan dalam membantu menaikkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan, membangunkan institusi serta tadbir urus strategik, mengukuhkan jaringan global, serta memperluaskan kerjasama industri dan komuniti.
Selain itu, beliau turut berperanan dalam memperkukuh jaringan akademik UIAM, khususnya di Kulliyyah Kejuruteraan (KOE), dengan menjalin kerjasama strategik bersama institusi berprestij seperti Harvard, MIT, Kyoto University, dan Imperial College London.
UIAM dalam kenyataan berkata, usaha tersebut akan diperkasa melalui penyelidikan berkualiti tinggi serta penyertaan dalam persidangan antarabangsa, sekali gus mengangkat reputasi UIAM di peringkat global.
Sementara itu, Dr. Osman berkata, pelantikan Dr Zaini diharap dapat memperkukuh kecemerlangan akademik UIAM serta menjadikannya peneraju dalam pembangunan etika kelestarian alam sekitar menurut perspektif Islam.
“Dengan pengalaman luas beliau dalam pengurusan pendidikan tinggi, Dr. Zaini akan memberikan khidmat nasihat dalam reformasi pendidikan, bukan sahaja di UIAM tetapi juga di peringkat kebangsaan dan antarabangsa”, katanya dalam satu kenyataan.
UIAM mencipta sejarah dengan memperkenalkan jawatan Profesor Felo buat pertama kali, menjadikannya antara universiti awam terawal di Malaysia yang memperkenalkan jawatan tersebut.
Dr. Zaini memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada 1988 sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2008, menjadikannya Naib Canselor UTM termuda pada usia 43 tahun.
Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai KSU di pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), serta Kementerian Kesihatan (KKM).- MalaysiaGazette