Perlawanan JDT dengan Burriram United pada pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) tidak menjaringkan sebarang gol di Stadium Chang, Buriram, Thailand malam tadi. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU – Pengendali Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui masih ada kelemahan ketara semasa menentang Burriram United pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Chang, Buriram, Thailand, malam tadi.

Jurulatih kelahiran Argentina itu berkata, kelemahan tersebut dapat dilihat semasa JDT beraksi malam tadi di sebalik aksi mantap yang dipamerkan pemain hingga berjaya mengikat skuad Thunder Castle itu tanpa jaringan.

Justeru, beliau tekad memperkemaskan permainan selain meningkatkan kawalan di setiap posisi pada aksi kedua berdepan Burriram United pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 11 Mac ini.

Jelasnya, masih ada kelemahan ketara dalam aspek penguasaan posisi yang perlu diperbaiki menjelang aksi timbal balik di laman sendiri kelak.

“Secara keseluruhannya, saya gembira dengan sikap dan komitmen pemain, dari sudut defensif, mereka bermain dengan sangat baik dan berdisiplin.

“Namun, dalam aspek penguasaan posisi, kami menghadapi kesukaran untuk mencari pemain bebas dan membuka ruang ketika mengatur serangan.

“Malah, barisan pertahanan juga dilihat berjaya mempamerkan aksi kompak yang mantap di sepanjang perlawanan, bagi menyekat asakan-asakan tuan rumah,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Kedua-kedua pasukan turut terikat tanpa jaringan pada aksi peringkat kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim, 3 Disember lalu.

Mengulas mengenai perbezaan antara perlawanan malam tadi dan aksi terakhir JDT sebelum ini, Bidoglio menjelaskan bahawa keputusan seri tanpa jaringan dalam kedua-dua perlawanan mempunyai cabaran yang berbeza.

“Perlawanan antarabangsa di tempat lawan memang sentiasa mencabar, lebih-lebih lagi dalam kejohanan seperti ACLE kerana ia bukan perlawanan 90 minit semata-mata, tetapi 180 minit.

“Jadi, keputusan seri ini tetap positif kerana kami akan beraksi di laman sendiri selepas ini dan di sana, JDT adalah pasukan yang sangat kuat,” tambahnya.

Sementara itu, Bidoglio turut memberikan pujian kepada aksi yang dipamerkan pemain import baharu JDT, Samu Kastilejo, 30.

Katanya, biarpun diturunkan sebagai pemain gantian, selain baru baru menyertai pasukan lima hari lalu, Kastilejo tetap menunjukkan kesungguhan membantu pasukan.

“Saya berpuas hati dengan usaha Kastilejo. Dia baru bersama kami dan masih dalam proses memahami corak permainan serta rakan sepasukan.

“Walaupun begitu, dia memberikan yang terbaik. Saya percaya dalam masa beberapa hari lagi, dia akan semakin serasi dan mampu memberikan sumbangan lebih besar,” jelas Bidoglio.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here