Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memuktamadkan Rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) pada akhir tahun ini.

Timbalan menterinya, Liew Chin Tong berkata, MITI ketika ini telah mengenal pasti DEFA sebagai antara Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan bawah Kepengerusian ASEAN 2025.

Ujarnya, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berperanan menggerakkan agenda utama integrasi ekonomi serantau bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2025 yang menekankan komitmen terhadap pembangunan saksama dan merapatkan jurang pembangunan.

“Ke arah itu, Malaysia menekankan dua pendekatan utama untuk melancarkan proses rundingan DEFA di mana pendekatan pertama ialah program peningkatan keupayaan dasar negara-negara anggota ASEAN.

“Fokus diberikan kepada bidang pendigitalan yang lebih kompleks dan terkini terutama dalam penggunaan teknologi digital, pengurusan data dan perlindungan siber dalam rantaian perdagangan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai langkah diambil Malaysia bagi memastikan DEFA merapatkan jurang pembangunan digital antara negara anggota dan memastikan transformasi digital yang inklusif di rantau ini.

 

Menjelaskan lanjut, Chin Tong berkata, pendekatan kedua ialah menekankan pelaksanaan DEFA secara berperingkat dan berfasa seperti yang diamalkan ASEAN dalam pembentukan Komuniti Ekonomi, terutama dalam perjanjian perdagangan bebas.

“DEFA memang selari dengan agenda negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipacu digital dan peneraju serantau dalam ekonomi digital pada 2030,” katanya.

Tambah, ia juga selaras  dengan dasar kebangsaan seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia serta dasar sektoral kelolaan MITI iaitu Rangka Tindakan Perdagangan Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Bagi memastikan kepentingan dan pendirian Malaysia terpelihara dalam rundingan DEFA pula, pelaksanaan inisiatif bawah dasar itu dijadikan asas persediaan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha strategik bagi memastikan tahap ketersediaan negara-negara ASEAN dalam memuktamadkan DEFA agar rantau ini dan Malaysia kekal berdaya saing pada peringkat global demi meraih manfaat ekonomi dan sosioekonomi yang mampan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here