KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang menjelaskan tindakan 57 wakil rakyat daripada blok itu tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 semalam bukan bermakna menolak pindaan itu.
Sebaliknya, Ir Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, mereka sebenarnya mengambil sikap berkecuali dengan tidak mengundi dan ia tidak menjadi kesalahan pun sebagai pembangkang.
Malah tegas beliau, setiap ahli Parlimen memiliki hak untuk membuat keputusan demi kebaikan bersama.
“Apa yang berlaku semalam bukan penolakan tetapi apa yang berlaku semalam adalah hak yang ada pada semua ahli Parlimen. Bila kita masuk sahaja dewan ini, ia ada bahagian kerajaan dan bahagian pembangkang.
“Ada benda yang kita boleh sokong, tolak dan berkecuali. Apa salahnya tindakan semalam dan kenapa mengatakan kami menolak,” soalnya dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam turut mempersoalkan persepsi yang cuba diwujud ke atas pembangkang yang telah menolak RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025.
“Dalam satu rang undang-undang yang membicarakan tentang legislatif, kami berkecuali. Patutnya pihak kerajaan yang membaca read between the lines.
“Sebab bukan kami yang memerintah. Ini adalah RUU yang membicarakan hak kita semua, tidak kira pembangkang atau kerajaan.
“Di mana logiknya mengatakan kami menolak dalam keadaan kami ditekan pagi, petang, siang dan malam oleh kerajaan,” jelasnya.
Semalam, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat
Seramai 148 ahli Parlimen bersetuju untuk meluluskan RUU, 57 tidak mengundi dan 17 lagi tidak hadir.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas undi belah bahagi dilakukan.
RUU tersebut yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lulus dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen selepas ia dibahaskan oleh 18 wakil rakyat.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam.
Ia dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu lalu.
Sejak 1957 hingga 1963, Parlimen mengendalikan urusan pentadbiran dan sumber tanpa Akta Perkhidmatan Parlimen.
Namun pada 1963, Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenalkan diikuti penubuhan Jawatankuasa Penasihat Perkhidmatan Parlimen yang diberi kuasa dalam aspek pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan kewangan.
Bagaimanapun pada 1992, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dibuat dan memansuhkan Perkhidmatan Parlimen yang diwujudkan melalui Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, sekali gus memberi kesan sampingan iaitu penghakisan autonomi Parlimen. – MalaysiaGazette