Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Setakat ini masih terlalu awal untuk polis mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penemuan mayat seorang kakitangan Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya, pagi tadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, polis telah mengambil alih siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Berdasarkan taklimat yang diberikan, penemuan mayat itu berlaku pagi tadi. Dengan itu, proses selanjutnya akan dilakukan.

“Pihak polis akan mengambil alih siasatan bagi mengenal pasti punca kematian dan menjalankan siasatan yang menyeluruh,” katanya selepas program ‘Penerapan Nilai-Nilai Murni’ dan Majlis Berbuka Puasa bersama warga KDN di sini hari ini.

Saifuddin menegaskan, pada peringkat ini, masih terlalu awal untuk polis membuat sebarang kesimpulan mengenai insiden tersebut.

“Memadai untuk kita menyerahkan kepada pasukan polis bagi memulakan siasatan terhadap insiden ini,” ujarnya.

Saifuddin juga memberi jaminan perkembangan siasatan akan dimaklumkan kepada umum berdasarkan maklumat yang relevan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, berdasarkan perkembangan siasatan, saya akan meminta pasukan polis untuk berkongsi maklumat yang dianggap penting dan munasabah untuk didedahkan kepada media,” tambahnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur telah mengesahkan penemuan seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri dengan leher dan kaki terjerut menggunakan ‘cable tie’ di Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya, pagi tadi.

Datuk Rusdi Mohd Is, berkata, si mati berumur 45 tahun dan merupakan kakitangan jabatan berkenaan.

Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dijumpai di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai ‘Sudden Death Report’ (SDR), katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – MalaysiaGazette

Polis KL sahkan temui mayat kakitangan Pejabat Perbendaharaan di Putrajaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here