KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menyokong pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh bahawa mana-mana pihak yang sengaja memainkan sentimen perkauman perlu dihukum tegas dan bukan sekadar meminta maaf.
Presidennya, Datuk Sivakumar Nadarajah berkata, sesiapa sahaja yang mempermainkan sensitiviti kaum dan agama wajar dikenakan tindakan keras agar menjadi pengajaran kepada semua.
“Tak kisahlah siapa pun, penyampai radio ERA, penjual jagung, Harith Iskander, Cecilia Yap atau mana-mana pendakwah yang menghina kepercayaan orang lain hukuman tegas mesti dikenakan. Minta maaf dan move on bukan penyelesaian.
“Hina, perlekeh sahaja agama dan kepercayaan perlu dikenakan tindakan tanpa kompromi. Mahima mahupun saya secara peribadi sudah awal-awal lagi cakap hentikan perbuatan mengguris hati atau menyentuh berkaitan agama dan kaum.
“Ini tidak adil bagi mana-mana malah kita semua termaktub dengan prinsip Rukun Negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.
ARTIKEL BERKAITAN:
Menurut Sivakumar, insiden tiga penyampai radio ERA yang hadir ke kuil Batu Caves untuk memohon maaf tidak boleh diterima begitu sahaja kerana penghinaan terhadap ‘Vel’ adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.
“Kami bernazar berbulan-bulan sebelum melakukan ritual keagamaan, tapi ada pihak boleh gelak, menari dan hina kepercayaan kami kemudian sekadar minta maaf? Ini tidak betul,” tegasnya.
Beliau juga mendesak kerajaan mengambil tindakan segera dan mempercepatkan pindaan Akta Hasutan bagi menangani isu penghinaan agama, kaum, dan institusi diraja (3R).
“Kerajaan Madani sudah bersetuju untuk meminda Akta Hasutan tetapi sehingga kini masih tiada tindakan konkrit. Sampai bila perkara seperti ini mahu dibiarkan?” soalnya. – MalaysiaGazette