KUALA LANGAT – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan masih terdapat premis kitar semula lain yang menjalankan aktiviti memproses e-sisa haram menggunakan peluru hidup dan kelongsong untuk menghasilkan jongkong timah di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun premis haram terbabit sedang dipantau pihak berkuasa sebelum tindakan tegas diambil.
“Siasatan masih belum selesai. Maklumat risikan mengesahkan bahawa masih ada lagi premis yang beroperasi seperti ini dan berada dalam radar pihak berkuasa.
“Ini menunjukkan kemasukan peluru hidup dan kelongsong ini sebenarnya lebih banyak daripada yang ditemui semasa serbuan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Ops Bersepadu Hazard di Telok Panglima Garang, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Selain itu, katanya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat penemuan peluru terbabit dan negara sumber yang diseludup masuk hingga bolos melalui pintu negara.
“Siasatan Polis bukan hanya tertumpu kepada penemuan peluru, tetapi juga aspek keselamatan negara, kerana jumlah yang ditemui adalah terlalu besar.
“Hari ini, wakil Majlis Keselamatan Negara turut hadir bagi menilai impak keselamatan terhadap negara.
“Polis pula sedang menyiasat sama ada peluru ini masih boleh digunakan atau sudah luput tarikh serta berasal dari sumber tertentu yang menimbulkan ancaman keselamatan,” katanya lagi.
Katanya lagi, bahan-bahan senjata api itu dipercayai masuk ke negara ini melalui kontena 40 kaki.
“Oleh itu, polis dan kastam akan menyemak punca kemasukan di pelabuhan mana barang ini tiba serta memeriksa dokumen seperti manifes kargo dan senarai inventori untuk mengenal pasti pihak terlibat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette