KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada masyarakat agar usah menggunakan kesempatan untuk membakar dan mengapi-apikan sentimen perkauman dan menanam bibit kebencian di negara ini.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar sedar wujud kini usaha jahat sesetengah pihak berkepentingan yang cuba menanam persepsi ‘double standard‘ dalam mengambil tindakan.
Tegas beliau, Anwar menyifatkan ia tuduhan liar yang tidak ada asas sama sekali kerana sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa.
“Sebagai contoh apabila kalimah Allah dipersenda melalui penjualan stokin, syarikat dan pembekal masing-masing didenda RM60,000.
“Seorang lelaki persenda perkataan “Allah” didenda RM12,000 dan dipenjara 6 bulan manakala peniaga jagung bakar letak notis perkauman, didenda RM400.
“Manakala Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing didenda RM10,000,” katanya dalam taklimat harian di sini hari ini.
Tunku Nashrul menambah, Anwar menafikan tuduhan dan persepsi kononnya kerajaan berdiam apabila agama Islam dihina adalah fitnah dan tidak berasas.
“Dalam kes yang saya senaraikan tadi, jelas semuanya disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum dan kesemua tindakan tersebut adalah berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui jalur proses dan hukum negara.
“Ini mesej yang tegas buat semua rakyat Malaysia untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama, budaya dan kaum di mana-mana ruang di Malaysia.
“Usah biarkan hal-hal remeh merobohkan kekuatan dan keunikan kita tatkala negara sedang berkembang dan berada pada trajektori yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette