KUALA LUMPUR – Beberapa jam selepas UMNO membuat penegasan bahawa parti itu tiada kaitan dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Barisan Nasional (BN) pula mengeluarkan kenyataan sama.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, gabungan itu tidak menerima apa-apa makluman berkaitan mana-mana yang pihak cuba mengaitkan kes dihadapi bekas Naib Presiden UMNO itu dengan komponen parti berkenaan.
“(Setakat ini) tak adalah yang kita dengar hal sedemikian (mana-mana pihak mengaitkan kes Ismail Sabri dengan BN).
“Seperti dimaklumkan, jika (terdapat sebarang) isu terkait dengan individu (dalam parti), ia tiada kaitan dengan BN.
“Isu terkait dengan individu biarlah diuruskan dengan individu terbabit, tetapi yang mustahaknya biarlah proses berjalan seperti dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri.
Malah Asyraf berkata, parti itu memandang serius terhadap sebarang cubaan untuk mengaitkan UMNO dengan penemuan RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta di tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse‘, 2 Mac lalu.
Media sebelum ini melaporkan dua individu bergelar Datuk adalah antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri, telah ditahan SPRM.
SPRM juga telah mengarahkan Ismail Sabri untuk mengisytiharkan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 dan pengisytiharan harta itu dilakukan beliau secara rasmi pada 10 Februari lalu.
Keterangan Ahli Parlimen Bera itu juga telah hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 19 Februari lalu untuk direkodkan keterangan. – MalaysiaGazette