Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuat dua laporan polis berasingan berhubung insiden kecederaan dua anggota penguat kuasanya yang dicederakan oleh penjaja tidak berlesen.

Kejadian itu berlaku ketika tugas pemantauan di Bazar Ramadan dan Aidilfitri sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Benteng di sini semalam, kata kenyataan DBKL.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa keberadaan penjaja di lokasi yang tidak dibenarkan boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti kesesakan lalu lintas, gangguan kepada pejalan kaki, serta isu kebersihan dan pengurusan sampah.

“Oleh itu, tindakan penguatkuasaan telah dijalankan bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan peniaga dan kesejahteraan warga kota,” kata DBKL.

Namun sebelum tindakan penguatkuasaan diambil, DBKL akan memberikan teguran dan notis terlebih dahulu kepada penjaja yang melanggar peraturan.

“Tindakan hanya diambil sekiranya individu terbabit mengabaikan arahan dan terus beroperasi secara tidak sah. Bagaimanapun, terdapat segelintir penjaja yang bertindak agresif terhadap petugas DBKL dan pelaku yang mencederakan anggota berkenaan telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

DBKL menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan agresif terhadap petugas dan menggesa semua pihak agar mematuhi undang-undang demi memastikan Kuala Lumpur kekal tersusun, bersih dan selamat.

DBKL dalam kenyataan yang sama berkata, pihaknya telah membuka peluang kepada semua peniaga yang berminat untuk beroperasi di bazar tersebut secara sah dengan kadar sewaan tapak yang berpatutan.

“Langkah ini bertujuan memastikan suasana perniagaan yang selamat dan teratur serta melindungi hak penjaja yang mematuhi peraturan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here