Program EmpowerHER Digital iaitu inisiatif Kementerian Digital yang dipacu oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan sokongan SMECorp Malaysia.

KUALA LUMPUR – Hampir 220,000 usahawan wanita telah menceburi e-dagang melalui pelbagai platform namun hanya 12.63 peratus menerima latihan selepas penyertaan awal.

Menteri Digital, Gobind Deo Singh, ia menunjukkan ramai wanita masih memerlukan bimbingan berterusan agar mereka bukan sekadar berdaftar di platform digital tetapi juga mampu bersaing dan berjaya.

Menurutnya, data juga menunjukkan hampir 57,000 wanita peniaga dalam talian tidak berjaya mencapai sebarang jualan manakala sebahagian besar hanya memperoleh pendapatan di bawah RM1,000.

“Ini bermakna masih terdapat halangan dalam memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi digital dan inilah peranan kita untuk membantu mereka maju ke hadapan.

“Saya yakin apabila lebih ramai wanita diberi peluang dalam ekonomi digital, kesannya tidak hanya kepada individu tetapi juga akan turut menyumbang kepada pembangunan komuniti dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Dan saya tidak mahu program ini terhenti di sini. Kita akan memperluaskan Program EmpowerHER Digital ke lebih banyak negeri supaya lebih ramai wanita sama ada di bandar atau luar bandar dapat merasai manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program EmpowerHER Digital iaitu inisiatif Kementerian Digital yang dipacu oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan sokongan SMECorp Malaysia.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil.

Program itu dilancarkan bagi memperkasa wanita B40 dengan kemahiran digital serta akses pasaran untuk menjana pendapatan dan membina perniagaan yang mampan dalam ekonomi digital.

Mengulas lanjut, Gobind turut menegaskan, kepentingan memperluaskan program itu ke lebih banyak negeri supaya lebih ramai wanita termasuk di luar bandar dapat menikmati manfaat ekonomi digital.

“Transformasi digital mesti bersifat inklusif dan membuka peluang kepada semua, terutama kumpulan B40. Inisiatif seperti EmpowerHer Digital memainkan peranan penting dalam memastikan wanita Malaysia bukan sahaja celik teknologi tetapi juga mampu bersaing dalam ekonomi digital yang pesat berkembang,” ujarnya.

Sementara itu, berkata, Anuar Fariz berkata, EmpowerHer Digital bukan sekadar latihan tetapi satu gerakan untuk membina ekosistem sokongan yang mampan.

Program itu membekalkan wanita B40 dengan kemahiran digital, akses pasaran, dan bimbingan mentor agar mereka dapat membina perniagaan yang berdaya saing.

“Sebagai pemudah cara ekonomi digital negara, MDEC memastikan wanita bukan sekadar pengguna teknologi tetapi juga penggerak inovasi dalam ekonomi digital,” katanya.

Selain latihan praktikal, EmpowerHer Digital turut menampilkan sesi sembang santai bersama Pengasas Hers Manufacturing, Amutha Subramaniam, Pengasas Bersama Craftiviti, Wei Yein dan Pengasas Rayhanah Malaysia, Nur Adila Manshor yang berkongsi pengalaman mereka dalam membina perniagaan digital serta bagaimana teknologi telah membantu meningkatkan daya saing mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here