KUALA LUMPUR – Faith Events dan Open University Malaysia (OUM) menjalinkan kerjasama dalam usaha memajukan pendidikan Islam dan memperkukuhkan pemahaman antara agama di negara ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Faith Events, Khairul Amar Razali berkata, sebagai pakar dalam penganjuran acara rohani dan motivasi, kolaborasi itu signifikan bagi menandakan langkah penting melalui seminar, kuliah dan persidangan menarik.
Menurut beliau, memoradum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan universiti digital terkemuka itu menetapkan objektif utama antaranya dalam pembangunan kursus dan program Islam.
“MoU juga meliputi promosi ajaran Islam dan pemahaman rentas budaya serta perkongsian sumber dan kepakaran untuk meningkatkan kualiti acara pendidikan dan motivasi.
“Selain itu, memorandum juga mempromosi penganjuran acara Islam bagi pengalaman pembelajaran holistik dan kerjasama lain yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada majlis menandatangani MoU itu hari ini, OUM diwakili Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor (Akademik & Penyelidikan), Prof Datuk Dr Mohd Tajudin Md Ninggal.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Mustafa Faith Events, Munira Mustafa dan Naib Presiden yang juga Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Perniagaan) OUM, Prof Dr Yon Rosli Daud.
Faith Events adalah sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk merancang, mengurus dan melaksanakan acara yang memfokuskan kepada promosi ajaran dan nilai-nilai Islam.

Mengulas lanjut, Khairul Amar menambah, MoU itu turut mewakili langkah penting ke arah memperkukuh pemahaman yang lebih baik tentang prinsip Islam sambil menyediakan peluang pendidikan dan memupuk dialog antara agama.
Sementara itu, Mohd Tajudin berkata, OUM berbangga dapat bekerjasama dengan Faith Events dalam mengembangkan peluang pendidikan yang mengintegrasikan kedua-dua pembangunan akademik dan rohani.
Menurut beliau, inisiatif itu sejajar dengan misi universiti itu untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat sambil menerima pelbagai perspektif.
“Perkongsian ini menekankan kepentingan menyepadukan iman dan pendidikan, memastikan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh untuk individu daripada semua lapisan masyarakat.
“Melalui kerjasama ini, OUM dan Faith Events mengesahkan komitmen mereka untuk memupuk komuniti pengetahuan, kepercayaan dan pertumbuhan peribadi. – MalaysiaGazette